Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tangguh pemilihan atau tak mungkin diputuskan Ramadan ini - Ahmad Maslan
Diterbitkan:  Apr 11, 2021 9:13 AM
Dikemaskini: 2:02 AM

Keputusan sama ada pemilihan Umno akan diadakan seperti dijadualkan atau ditangguhkan, berkemungkinan ditetapkan dalam bulan Ramadan ini, kata Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.

Katanya, ia memandangkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan bermesyuarat dalam bulan Ramadan yang dijangka bermula 13 April ini.

“Mesyuarat MKT akan kita lakukan dalam bulan Ramadan - yang kemungkinan besar bermula Selasa depan. Dan dalam bulan Ramadan itu, kita belum tetapkan tarikhya bila (mesyurat MKT).

“Saya kiralah, dalam mesyuarat itu akan ditentukan bilakah kita ingin mengadakan pemilihan parti.

“Ada atau tidak pemilihan parti, itu bergantung pada keputusan MKT. Dalam perlembagaan Umno, MKT berhak untuk menentukan,” katanya dalam sesi wawancara siaran langsung Terus Terang disiarkan Umno Online malam tadi.

Untuk rekod, pemilihan Umno perlu diadakan setiap tiga tahun dengan kali terakhir Umno mengadakan pemilihan ialah pada 30 Jun 2018. 

Tempoh mandat kepimpinan Umno sekarang akan tamat pada 30 Jun 2021.

'Pegang janji Muhyiddin, PRU tahun ini'

Bagaimanapun, Perlembagaan Umno juga membenarkan Majlis Teringgi (MT) untuk menangguhkan pemilihan bagi tempoh tidak lebih daripada 18 bulan daripada tarikh pemilihan sepatutnya diadakan.

Kata Ahmad, selalunya, pemilihan parti akan ditangguhkan pada tahun pilihan raya umum (PRU).

Tambahnya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga telah mengemukakan janji untuk mengadakan PRU pada tahun ini.

Katanya, janji itu dibuat kepada kira-kira 80 ahli parlimen pada Dis lepas, sehari selepas RUU Belanjawan 2021 diluluskan untuk bacaan kali ketiga.

“Sehari selepas itu, ada makan tengah hari, perdana menteri menyebut kepada kami yang hadir, pilihan raya tahun hadapan. Maksudnya, tahun inilah pilihan raya.

“Jadi saya sentiasa berpegang kepada kenyataan perdana menteri itu, sebab pada saya, perdana menteri tidak berbohong, lebih-lebih lagi apabila dia bercakap kepada 80 lebih ahli parlimen, daripada Umno, Bersatu, PBS (dan lain-lain),” katanya lagi.

“Jadi kalau orang tanya bila PRU, saya beranggapan saya berpegang kepada janji perdana menteri kepada kami, masih lagi tahun ini. 

"Tapi kalau dia mungkir janji, ada perdana menteri mungkir janji ke?” kata Ahmad Maslan lagi.

Meskipun merupakan salah satu pihak yang terlibat dalam Langkah Sheraton tahun lalu sehingga menumbangkan kerajaan PH tanpa pilihan raya, Umno juga antara pihak yang lantang mendesak agar PRU diadakan bagi menyerahkan semula mandat kepada rakyat.

Sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negara, Muhyiddin sering diasak dengan dakwaan tidak memiliki majoriti yang cukup di Dewan Rakyat.

Selain itu dia juga menerima kritikan hebat daripada pembangkang dan Umno kerana pengisytiharan darurat, sekali gus menyebabkan sidang parlimen turut digantung.

Kerajaan memberi alasan pengiytiharan darurat yang berkuat kuasa dari 11 Jan hingga 1 Ogos adalah bagi membendung penularan Covid-19

Pun begitu, Muhyiddin menepis dakwaan bahawa dia takut untuk mengadakan PRU-15 dan pernah berjanji untuk melaksanakan PRU-15 sebaik sahaja Covid-19 berada dalam kawalan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS