Pakatan Harapan (PH) kini mengambil pendekatan “khembah besar” bagi menyatupadukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar politik mereka bagi memulihkan demokrasi negara.
Pun begitu, kata gabungan tersebut, kleptokrat tidak dialu-alukan untuk berada di bawah “khembah besar” berkenaan.
Pendekatan tersebut diumumkan tidak lama selepas tularnya rakaman audio dikatakan perbualan di antara Presiden PKR merangkap Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Presiden Umno merangkap Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.
“Kami akan terus gigih berusaha menjuarai aspirasi rakyat dengan mengambil pendekatan ‘khemah besar’ untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira pegangan politik.
“Ini penting bagi memulihkan kembali sistem demokrasi berparlimen dengan menamatkan penggantungan Parlimen,” kata Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan hari ini.
Ia ditandatangani bersama oleh Anwar, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Ia dikeluarkan selepas tamat pemukiman PH di Port Dickson yang berlangsung pada 8 dan 9 April lalu.
Justeru, kata mereka, PH akan mengumpulkan tandatangan semua ahli parlimen yang menyokong pembukaan semula parlimen menerusi satu memorandum untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
“(Ini) senafas menjunjung titah nasihat Agong bahawasanya darurat tidak menghalang parlimen untuk bersidang.
“Kami menegaskan kesediaan untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak berdasarkan prinsip dan agenda reformasi demi kepentingan rakyat, tanpa melibatkan kleptokrat,” kata mereka lagi.
Ia merupakan gesaan terbaru pemimpin-pemimpin kanan PH untuk menolak kerjasama dengan “kleptokrat” seperti yang disuarakan mereka sehari selepas Anwar tidak menolak kemungkinan wujud kerjasama dengan Umno bulan lalu.
Beberapa hari lalu, tersebar audio yang didakwa perbualan antara Anwar dan Ahmad Zahid berkenaan Perhimpunan Agung Umno dan ucapan ahli parlimen Bagan Datuk semasa perhimpunan berkenaan.
Kedua-dua pemimpin menafikan ketulenan video berkenaan.
Parlimen digantung akibat pelaksanaan darurat yang berkuat kuasa dari 11 Jan hingga 1 Ogos. Menurut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, langkah itu perlu diambil bagi membendung penularan Covid-19.
Bagaimanapun, Muhyiddin berdepan kritikan hebat daripada pembangkang dan tidak ketinggalan sekutunya sendiri dari Umno supaya membuka semula parlimen bagi membolehkan ahli Dewan Rakyat bersidang.