mk-logo
Berita
Audio: Polis akan panggil Zahid, Anwar bila tiba masa - IGP
Diterbitkan:  Apr 10, 2021 1:28 PM
Dikemaskini: 6:30 AM

Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim diminta tampil membuat aduan polis sekiranya merasakan diri mereka difitnah atau teraniaya berhubung dakwaan perbualan rakaman audio yang melibatkan mereka.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata demikian ketika mengulas perkembangan isu klip audio itu.

Menjawab pertanyaan sekiranya pihak polis merancang untuk memanggil kedua-dua pemimpin itu, Abdul Hamid berkata "pegawai penyiasat akan merakam kenyataan mereka."

“Apabila tiba masanya nanti...

“Jadi kedua-dua pihak, maknanya Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Datuk Seri Zahid kalau mereka rasa diri mereka teraniaya atau difitnah mereka bolehlah tampil membuat aduan dan siasatan dijalankan dari sudut itu.

“Tapi sekiranya orang ramai rasa tertekan, cemas apabila dapat banyak laporan, maknanya pihak polis punyai sebab untuk buka kertas siasatan dan menyiasat perkara ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Ditanya lanjut, Abdul Hamid menjelaskan kertas siasatan mengenai kes klip audio itu telahpun dibuka.

Dalam perbualan kira-kira empat minit itu, suara yang didakwa sebagai Zahid dan Anwar kedengaran berpuas hati dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) hujung bulan lalu yang memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu, serta memberi mandat kepada presiden dan Majlis Tertinggi untuk menentukan masa menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, suara yang didakwa Zahid berkata apa yang diucapkan ketika PAU hanya bersifat taktikal. Ia dipercayai merujuk kepada kenyataan tiadanya kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Suara didakwa Anwar pula berkata lebih baik jika menteri daripada Umno, walaupun seorang, yang menggunakan PAU sebagai sebab untuk meletakkan jawatan, untuk membina momentum.

Kedua-dua presiden Umno dan presiden PKR sebelum ini telah pun menafikan dakwaan tersebut.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata rakaman audio berkenaan telah dihantar ke makmal forensik untuk menganalisa ketulenannya.

Menurutnya, poses tersebut akan dijalankan satu persatu sehingga hasilnya dapat diperolehi.

“Sekiranya ada hasil daripada analisa tersebut, (ia) akan diangkat kepada jabatan peguam negara untuk jabatan peguam negara mengklasifikasikan atas undang-undang mana, atau seksyen apa (untuk) kes yang dibuka kertas siasatan tadi,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS