Langkah-langkah drastik akan dilakukan termasuk mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 apabila kempen vaksinasi Malaysia mencapai "tahap kritikal" pada September, kata menteri penyelaras kempen itu Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata Malaysia akan mulai menerima kemasukan vaksin pada bulan Jun terutama dari Pfizer dan Sinovac, selain penawaran vaksin akan melebihi permintaan pada bulan Jun atau Julai.
Menjelang bulan September, katanya, kadar pemberian vaksin akan mulai perlahan, bukan kerana kekurangan dos vaksin atau kakitangan yang tidak mencukupi, sebaliknya kurangnya individu yang bersedia menerima vaksin.
"Oleh itu, saya beritahu kabinet yang saya akan kembali pada September dan beri nasihat kepada kabinet sama ada kita akan mewajibkan pengambilan vaksi pada bulan September. Ini akan menjadi seruan yang besar.
"Kita belum sampai ke situ, tetapi seperti yang saya katakan, September adalah waktu yang tepat kita akan memiliki cukup vaksin untuk memvaksin lapan juta orang yang sudah mendaftar.
"Dan jika tak ramai orang yang didaftarkan pada waktu itu, kita harus membuat keputusan yang sukar,” katanya dalam wawancara yang disiarkan di BFM Radio hari ini.
Khairy berkata pada September, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 akan menentukan sama ada Malaysia berada di landasan tepat untuk memvaksin 70 peratus penduduk pada penghujung tahun ini, sehingga mencapai kekebalan kelompok terhadap penyakit berkenaan.
Sehingga semalam, hanya 8.3 juta orang telah mendaftar untuk pengambilan vaksin Covid-19, yang berjumlah 34.3 peratus daripada mereka yang berada dalam kumpulan umur yang layak mendapat vaksinasi.
Khairy berkata, dos vaksin tidak mencukupi untuk melakukan program imuniasi fasa 2 dan 3 serentak pada bulan April.
Namun katanya, keadaan itu akan berubah dalam beberapa bulan akan datang setelah penghantaran vaksin tiba sekali lagi, dan fasa kedua boleh dijalankan secara serentak.
Sebagai rekod, fasa 2 program vaksinasi disasarkan kepada warga emas, individu yang memiliki penyakit kronik, orang kurang upaya dan juga barisan petugas barisan hadapan yang masih belum diberi vaksin pada fasa 1 program berkenaan. Kira-kira 9.4 juta orang disasarkan pada fasa ini.
Fasa 3 mensasarkan penduduk dewasa Malaysia dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang berada di "zon merah" Covid-19.
Pada 4 April, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 berkata hanya sekitar 3.1 juta orang yang layak pada fasa 2 telah mendaftar untuk menerima vaksin.
Mereka terdiri daripada 1,229,855 warga emas, 1,741,935 orang dengan penyakit kronik dan 115,249 orang kurang upaya.