Selebriti dan usahawan popular Noor Neelofa Mohd Noor tampil memohon maaf hari ini susulan dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sewaktu majlis perkahwinannya dan semasa mengunjungi Pulau Langkawi.
Jelas Neelofa, dia bersama suaminya - Haris Ismail atau PU Riz - akan menerima sebarang keputusan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa terhadapnya.
“Kalau tengok ada beberapa versi cerita tentang dua hal isu ini dan saya seikhlas hati memohon maaf atas kesalahan SOP yang dalam pengetahuan saya mahupun di luar pengetahuan saya dalam kedua-dua isu ini.
“Dan saya dan suami mengakui dan terima dengan hati terbuka sebarang keputusan pihak berkuasa,” katanya menerusi satu video di Instagram hari ini.
Tambahnya, dia bersama suami serta kedua-dua belah pihak keluarga telah selesai memberi keterangan hari ini.
Terdahulu, tular di Internet imej sekitar majlis pernikahan Neelofa dan Haris yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu.
Majlis yang turut dihadiri orang kenamaan dan menteri itu didakwa tidak mematuhi SOP.
Kemudian, tular pula imej pasangan terbabit berada di Pulau Langkawi diiringi tuduhan mereka merentas negeri untuk berbulan madu.
Bagaimanapun, syarikat produk mewakili perjalanan mereka ke sana mendakwa, Neelofa dan Haris hanya memenuhi undangan tugasan yang diberikan bersama tiga lagi pekerja.
Neelofa pula dalam satu majlis baru-baru ini meminta dia diberikan ruang untuk menyelesaikan isu terbabit secara profesional.
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata sekiranya sisasatan polis mendapati kunjungan Neelofa dan Haris melanggar SOP perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPB), mereka berdua akan dikenakan kompaun.
Sementara itu, usahawan itu turut memohon maaf terlepas pandang beberapa perkara berhubung SOP serta kurang menjaga sensitiviti rakyat.
“Saya sekali lagi nak mohon maaf kerana kurang menjaga sensitiviti tentang hal in idengan semua dan ada banyak perkara yang saya terlepas pandang.
“Saya patut beri contoh lebih baik,” katanya lagi.