Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk mencalonkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri mereka pada pilihan raya akan datang.
Gabungan itu - yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah - juga memutuskan terbuka untuk "rundingan" dan "kerjasama" dengan mana-mana kumpulan.
Bagaimanapun, gabungan itu menjelaskan keterlibatan ini perlu berpaksikan kepada agenda reformasi PH dan demi kepentingan umum.
Ini adalah antara keputusan yang dibuat oleh pemimpin gabungan berkenaan semasa permukiman dua hari di Port Dickson, Negeri Sembilan yang bermula semalam.
Keputusan itu dinyatakan dalam kenyataan bertajuk Ketetapan Port Dickson yang dikeluarkan hari ini.
Pemukiman itu dihadiri para pemimpin utama PH antaranya Presiden PKR Anwar, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Selain itu, turut hadir adalah anggota Majlis Presiden PH, ketua wanita dan pemuda parti-parti, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Selain pemilihan Anwar dan keterbukaan untuk menjalinkan kerjasama, pemukiman itu turut mencapai lima lagi ketetapan lain:
- Mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk segera menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen.
- Mengulangi ikrar untuk terus mengukuhkan PH dalam mendepani PRU15 dan memaparkan upaya untuk mentadbir dengan amanah, demokratik dan adil.
- Mengiktiraf potensi dan kepentingan wilayah Sabah dan Sarawak sebagai "enjin pertumbuhan ekonomi" dalam memacu pembangunan negara, dengan jaminan pengagihan sumber lebih saksama.
- Menggerakkan semua wakil rakyat dan kepimpinan peringkat negeri bagi menangani isu dasar berkaitan pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, serta meneruskan proses libat urus dengan semua pemegang taruh untuk merangka manifesto pilihan raya.
- Memulakan siri jelajah negeri untuk memberi penerangan berkaitan pandanngan PH berhubung ekonomi, kestabilan politik dan wabak Covid-19.
Penumpuan terhadap PRU15 dalam pemukiman ini menandakan PH telah beralih daripada usaha membentuk kerajaan baru menerusi pengumpulan sokongan ahli Parlimen yang dibuat Anwar sebelum ini.
Muhyiddin tidak perlu membubarkan Parlimen sehingga suku ketiga 2023. Bagaimanapun dia sebelum ini pernah berkata akan mengadakan PRU15 selepas wabak Covid-19 mereda.