mk-logo
Berita
Papagomo lapor polis minta siasat klip audio Zahid-Anwar
Diterbitkan:  Apr 9, 2021 9:19 AM
Dikemaskini: 2:21 AM

Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris telah membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menyiasat perbualan melalui telefon yang didakwa antara Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Wan Muhammad Azri, juga dikenali sebagai blogger Papagomo, berkata siasatan akan menentukan sama ada fail audio berdurasi empat minit itu sahih atau jika ada dalang yang telah memalsukannya.

"Sehubungan dengan itu, saya memanjangkan laporan polis ini agar suatu siasatan menyeluruh dapat dilakukan bagi mengenalpasti kesahihan dan dalang yang memalsukan audio rakaman perbualan tersebut.

"Ia juga untuk menjaga nama baik institusi Umno yang bertegas menolak kerjasama dengan PKR dan Anwar Ibrahim.

"Sebagai ahli parti saya perlu bertindak menjaga nama baik institusi presiden dan nama parti Umno dari terus diperlekehkan dan diaibkan oleh pihak yang tak bertanggungjawab," katanya pada kenyataan selepas memfailkan laporan polis malam tadi di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur.

Katanya lagi, laporan polis itu dibuat susulan Zahid menafikan dirinya empunya salah satu suara dalam klip audio yang muncul malam Selasa lalu.

"Melalui penafian tersebut, audio rakaman perbualan tersebut dipercayai telah dipalsukan bagi tujuan memalukan dan mengaibkan Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden Umno.

"Bahawa individu yang membuat, menerbit dan mengedarkan video yang terkandung audio rakaman itu berniat jahat dan cuba untuk mengaibkan dan mencemar nama baik Zahid Hamidi.

"Selain itu audio tersebut seolah-olah cuba menunjukkan presiden Umno'berlakon' semasa PAU 2020 dan wujud kerjasama dengan Anwar Ibrahim," kata Wan Muhammad lagi.

Berdasarkan klip audio itu, suara yang kedengaran seperti Anwar memuji suara yang kedengaran seperti Zahid mengenai cara presiden Umno itu mengendalikan PAU 2020 yang berlangsung baru-baru ini.

Zahid telah menafikan sekeras-kerasnya audio yang didakwa perbualan antara dirinya dengan Anwar itu, berkata dia "amat kecewa dan terkejut" dengan tuduhan itu.

Presiden Umno itu juga mendakwa dirinya menjadi mangsa 'rancangan politik' untuk melemahkan atau memusnahkan Umno.

Zahid malam tadi membuat hantaran di Facebook memberi amaran mengenai bahaya media sosial.

"Ahli Umno sekalian. Media sosial. Ini zaman dunia digital. Dalam kebaikan yang boleh diperoleh terselindung juga keburukan jika niat kita tidak baik ketika menggunakan media sosial," katanya.

Dia juga membayangkan penyebaran klip audio itu sebagai serangan terbaru "untuk menjadikan rakyat benci kepada Umno serta BN."

"Barisan Nasional (BN) tewas PRU-14 pada 9 Mei 2018 angkara media sosial.

"Pelbagai dakyah, fitnah, perspekif negatif dan cerita tokok tambah diada-adakan pihak lawan," kata Zahid.

Presiden Umno juga mendakwa pada PRU14 "sebuah parti politik menawarkan peluang pekerjaan kepada cybertrooper dengan bayaran ribuan ringgit sebulan."

"Mereka iklankan pekerja menggunakan Jobstreet. Misi mereka memburuk-burukkan Umno dan menyebarkan fitnah.

"Ia masih berlarutan sehingga saat ini," dakwa ahli parlimen Bagan Datuk.

Zahid juga mendakwa walaupun Umno telah membentuk kerajaan tetapi parti itu tiada kuasa pemerintahan mutlak.

"Mereka masih melakukan perkara sama. Kerana apa, tidak mahu kita bangkit, mahu melemahkan kita dan mahu terus memastikan rakyat membenci kita," katanya lagi.

Oleh itu, Zahid menyeru "kesetiaan dan keikhlasan" ahli Umno untuk bergerak di media sosial "mara menangkis tohmahan dan fitnah."

"Apa yang saya minta adalah tangkis tohmahan dengan fakta yang tepat dan bukannya menabur fitnah.

"Kepimpinan Umno tidak seperti mereka," jelasnya lagi.

Sejak penyebaran klip audio iti, Anwar telah menafikan dia telah melakukan perbualan telefon dengan Zahid.

Anwar berkata dia akan membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa klip audio berkenaan merupakan usaha daripada kepimpinan negara setelah gagal "mengugut" dan "merasuah" pemimpin pembangkang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS