Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Exco Selangor: Perobohan 14 kedai di Kg Manickam ikut undang-undang
Diterbitkan:  Apr 8, 2021 10:28 PM
Dikemaskini: 2:28 PM

Sebanyak 14 perniagaan yang premisnya dirobohkan pada hari Selasa lalu beroperasi di Kg Manickam Bangi Lama di tanah rizab swasta dan kerajaan negeri, kata Ng Sze Han.

Ng, yang merupakan exco kerajaan negeri Selangor untuk kerajaan tempatan dan pengangkutan awam berkata struktur yang dirobohkan terdiri daripada restoran, stor, gerai serta kedai mencuci kenderaan yang sebahagiannya berada dalam keadaan usang dan tidak diselenggara dengan baik.

"Terdapat juga struktur yang membahayakan pengguna jalan raya dengan jarak yang terlalu hampir dengan jalan keluar masuk (anggaran 10 meter), selain membuat penyambungan elektrik secara haram," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Namun, kata Ng, kerajaan negeri komited untuk memelihara kelangsungan hidup para peniaga berkenaan dan telah pun menyediakan tapak perniagaan baharu di Pasar Bangi Lama.

"Komitmen ini terserlah dengan lambakan insentif yang dicetuskan kerajaan negeri dalam menyokong ekosistem peniaga, daripada E-Bazaar Raya, Platform Selangor (PLATS), sehingga yang terbaharu, program Niaga Darul Ehsan (NADI)," tambahnya.

Dia menekankan bahawa perobohan itu tidak dilakukan dengan semberono tetapi mengikut lunas undang-undang setelah meneliti aduan berkenaan dengan perniagaan yang terlibat.

Dia mengatakan bahawa pengusaha perniagaan dimaklumkan dengan Notis Supaya Mengemukakan Dokumen (Borang 2B) pada 10 Ogos 2020; disusuli Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Notis Amaran Pendudukan Secara Tidak Sah) pada 14 Ogos 2020 dan 14 Januari 2021, serta dua kali Surat Pentadbiran (Pemberitahuan Operasi Perobohan) pada 16 Feb dan 2 April.

Jelasnya, majlis perbandaran, ahli parlimen dan Adun setempat bersedia bekerjasama dengan pengusaha perniagaan yang terlibat untuk penempatan semula mengikut prosedur.

Semalam, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan mengatakan bahawa 14 lot kedai itu yang dimiliki oleh peniaga berpendapatan rendah telah beroperasi selama 40 tahun. Mereka termasuk seorang mekanik, restoran, kedai bunga, dan tukang jahit.

Difahamkan, 12 daripada kedai-kedai itu dirobohkan sementara dua yang tersisa menunggu penyelesaian pertikaian tanah di mahkamah.

Kata Arutchelvan beberapa pemilik kedai mengatakan mereka hanya menyedari dua tahun lalu bahawa tanah itu dimiliki oleh kerajaan setelah membayar sewa kepada pihak yang didakwa "tuan tanah" selama beberapa dekad.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS