Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kumpulan media gesa MBSA jelaskan alasan sekat media di pendengaran awam
Diterbitkan:  Apr 8, 2021 7:21 PM
Dikemaskini: 11:21 AM

Kumpulan pengawas media Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) membantah keputusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang tidak membenarkan wartawan membuat liputan pendengaran awam draf rancangan tempatan MBSA 2021-2035 pagi ini.

"Dilaporkan bahawa MBSA melarang kakitangan media membuat liputan pendengaran awam dengan memberikan alasan bahawa jemputan tidak disampaikan kepada media tetapi hanya untuk penduduk dan orang lain yang mengemukakan bantahan rasmi terhadap rancangan-rancangan itu.

"Alasan ini tidak boleh diterima kerana ini adalah masalah kepentingan awam dan, oleh itu, masyarakat mesti diberitahu," kata pengarah eksekutif CIJ Wathshlah G Naidu dalam satu kenyataan hari ini.

Pendengaran awam dijadual bermula pada jam 9:15 pagi tadi di dewan jamuan Wisma MBSA, Shah Alam.

Antara perkara yang dibincangkan adalah cadangan MBSA untuk menukar Hutan Komuniti Shah Alam (Rimba Komuniti Shah Alam) menjadi pembangunan komersial dan tanah perkuburan.

Namun wartawan, yang telah dijemput oleh NGO yang berkaitan, mendapati mereka tidak dibenarkan masuk dan ketika penduduk berusaha untuk membantu media dengan mencadangkan mereka memasuki sesi tersebut sebagai "wakil", pegawai MBSA mengeluarkan syarat bahawa sesi tersebut tidak boleh dilaporkan dan wartawan mesti menyerahkan alat rakaman mereka.

"Melarang media membuat laporan, sama sepeti MBSA tidak bersikap telus dalam penyataan maklumat yang menjadi kepentingan umum.

"Ini jelas bertentangan dengan Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 yang dimaksudkan untuk meningkatkan pendedahan maklumat untuk kepentingan umum, untuk memberikan kepada setiap individu hak akses yang munasabah terhadap maklumat yang dibuat oleh setiap jabatan kerajaan negeri dan untuk meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban bagi setiap jabatan dalam kerajaan negeri, ” kata Naidu.

Dia mengatakan bahawa adalah mustahak bagi MBSA untuk menjelaskan sebab ia menyekat pendedahan maklumat yang berkaitan dengan pendengaran awam.

Sementara itu, Geramm turut menyatakan rasa kesal dengan kejadian itu.

"Geramm menyesali satu lagi kejadian di mana media dilarang membuat liputan acara tanpa alasan yang jelas," katanya.

Geramm menuntut penjelasan mengapa mesyuarat yang diumumkan sebagai "pendengaran awam" harus diadakan "secara tertutup".

"Lebih membimbangkan, kejadian itu melibatkan kerajaan negeri yang terdiri daripada gabungan parti yang menjanjikan kebebasan media ketika bertanding dalam pilihan raya," tambah Geramm.

Pada 29 September tahun lalu, Malaysiakini dapat menghadiri dan melaporkan mesyuarat townhall di Pulau Carey di mana ramai penduduk, aktivis dan ahli politik menyuarakan bantahan mereka terhadap cadangan kontroversi kerajaan Selangor untuk mengasingkan sebahagian besar hutan simpan Kuala Langat (Utara) untuk projek pembangunan campuran.

Ahli majlis MBSA, Pappa Raidu Veraman sebelum ini berkata "pendengaran awam" itu tidak dibukan untuk orang ramai dan akan ada sesi lain di kemudian hari.

Naidu mengatakan bahawa akses kepada pendengaran itu dan pelaporan perkara-perkara kepentingan awam adalah asas kepada peranan media untuk berfungsi tanpa sekatan yang tidak perlu kerana ia mencabar kebebasan media dan mempengaruhi hak masyarakat untuk mendapatkan maklumat.

"Ini lebih mempengaruhi kemampuan masyarakat yang lebih besar untuk mengambil bahagian dalam perbahasan atau perbincangan yang berkaitan dengan proses membuat keputusan di Hutan Komuniti Shah Alam.

"Bagaimana kita boleh mempertanggungjawabkan MBSA dan agensi-agensi negeri yang berkaitan atas keputusan dan tindakan mereka yang akhirnya akan mempengaruhi masyarakat umum?

"MBSA harus berbuat lebih baik dalam menegakkan kebebasan media untuk melaporkan pendengaran awam sebagai cara untuk memastikan ketelusan dan meningkatkan demokrasi partisipatif dan pemerintahan yang baik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS