Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Iran, Malaysia mahu perluas kerjasama dua hala

Iran bersedia untuk memperluas hubungan dua hala yang lebih komprehensif dan meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai bidang, kata Timbalan Menteri Luar untuk ekonomi, Rasoul Mohajer.

Agensi Berita Iran (IRNA) pada Selasa melaporkan Mohajer berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Luar, Kamarudin Jaafar yang mengadakan lawatan kerja sehari ke republik itu.

Berdasarkan kepada hubungan dua hala kedua-dua negara selama ini, Mohajer mengumumkan kesediaan Iran untuk memperluas lagi hubungan komprehensif dan kerjasama dengan Malaysia.

Beliau turut meminta kerajaan Malaysia membantu mempermudah interaksi komersial dan perniagaan antara sektor swasta dan awam kedua-dua negara.

Timbalan menteri luar Iran itu turut mengulas mengenai ahli perniagaan, individu berpendidikan dan juga golongan elit Iran yang berjaya di Malaysia.

Namun, katanya beberapa isu yang dihadapi di Malaysia termasuk urusan perbankan, kewangan, konsular, kehakiman dan pertukaran pesalah perlu ditangani.

Sementara itu, Kamarudin menyatakan tujuan utama lawatannya adalah untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala terutama dalam bidang komersial dan ekonomi.

Sebelum ke Iran, Kamarudin turut melawat Turki dan Qatar.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS