Sesuatu dasar yang hanya berpandukan kepada umur semata-mata, mempunyai banyak kekurangan, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Senada dengan pandangannya bulan lalu bahawa penetapan umur mengundi 18 tahun adalah berpandukan demokrasi ciptaan Barat, hari ini pula, dia mencadangkan had umur sebagai syarat kelayakan mengundi harus digabungkan dengan pendidikan politik.
“Maka, syarat yang menetapkan kayu ukur umur sahaja tanpa meletakkan syarat-syarat keahlian yang lain terlalu banyak kekurangannya. Sebagaimana yang telah menjadi amalan dalam demokrasi Barat.
“[...] Justeru itu, pendidikan politik dan syarat-syarat kelayakan mengundi hendaklah digabungkan dengan had umur sebagai satu cara yang bijaksana, matang dan sejahtera,” katanya dalam catatan Minda Presiden di Facebooknya hari ini.
Abdul Hadi menceritakan bahawa di dalam Islam, peringkat umur bagi menentukan penunaian kewajipan dibahagikan kepada tiga iaitu mumaiyiz (boleh membezakan baik-buruk), baligh dan al-rusyd (kematangan menilai dan mengurus).
Penentuan umur al-rusyd itu katanya, adalah berbeza-beza mengikut ulama kerana ia dipengaruhi syarat tambahan seperti aspek pendidikan dan masyarakat sekeliling dan anasir luar yang mempengaruhi seseorang, lebih-lebih lagi pada masa kini.
Katanya, kelemahan syarat yang berpandukan faktor umur semata-mata dapat dilihat daripada pelbagai masalah dalam amalan demokrasi Barat, seperti orang tidak bermoral dan tidak berintegriti dilantik, rasuah, kongsi gelap, mafia, kartel dadah, samseng dan sebagainya.
“Hanya mereka daripada kalangan yang mahu berkuasa dengan matlamat menghalalkan segala cara sahaja, akan mendukung prinsip siapa sahaja boleh menjadi calon dan mengundi untuk memenangkannya dalam pilihan raya tanpa mempedulikan akibat daripada langkah yang salah.
“Ambillah contoh yang baik, walaupun daripada sesiapa dan dari mana datangnya. Jangan menerima apa sahaja perkara, sekalipun ia perkara luar biasa dan di luar tabii manusia yang bijak dan waras. Sehingga pencetusnya dinamakan dengan ahli falsafah,” katanya lagi.
SPR bulan lalu menangguhkan Undi 18 kepada September tahun depan, meskipun menteri undang-undang Takiyuddin Hassan sebelum ini pernah mengatakan ia dijangka dilaksanakan pada Julai.
SPR berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) menjejaskan persiapan untuk menurunkan had usia mengundi.
Keputusan itu menerima kritikan hebat daripada banyak pihak, termasuk pembangkang dan aktivis yang mempersoalkan keperluan penangguhan berkenaan.
Abdul Hadi bagaimanapun menyokong penangguhan itu, meskipun dahulu dia juga menyokong pelaksanaannya.
Bahkan PAS pernah mahu membawa usul persendirian bagi membolehkan anak muda berusia 18 tahun bukan saja layak mengundi, tetapi layak untuk menjadi calon dan bertanding dalam pilihan raya.
Pada Julai 2019, rang undang-undang meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan umur minimum mengundi diturunkan kepada 18 tahun, telah diluluskan di Dewan Rakyat dengan mendapat sokongan 211 ahli parlimen.
Tiada wakil rakyat yang mengundi untuk menolak, dan tiada juga yang berkecuali.
Ia adalah pindaan pertama perlembagaan sejak pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.
Ia diluluskan pula di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga, 10 hari kemudian.