Ketika suasana dalam BN kelihatan tidak menentu dan berkocak, seorang anggota Majlis Tertinggi Umno memberi peringatan kepada parti komponen gabungan berkenaan agar berhati-hati semasa mengatur langkah.
Menurut Mohd Puad Zarkashi, MIC dan MCA wajar tidak tergopoh untuk mencari tempat bergantung baru tanpa menyedari keadaan sebenar.
Menyedari kecenderungan kedua-dua parti berkenaan untuk meneruskan kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) Mohd Puad berkata dia meragui dakwaan tiada konsep 'big broter' dalam gabungan tersebut.
Kata Mohd Puad jika benar tiada sentimen itu dan cubaan mengongkong parti lain dalam PN, sudah pasti Umno masih kekal bekerjasama dengan mereka.
"Tetapi apakah 'big brother' tidak wujud dalam PN? Betulkah konsep 'we are brothers' (kita semua adik-beradik) yang disebut dalam hubungan diplomatik ada dalam kerajaan PN?
"Kalau semangat adik-beradik wujud dalam PN sudah tentu Umno menyertai PN dan tidak akan keluar daripada kerajaan PN. Sebaliknya Umno dilayan umpama adik tiri saja," katanya.
Bekas ahli parlimen Batu Pahat itu juga memberitahu MIC dan MCA perlu beringat sebelum membuat keputusan memilih gabungan berkenaan.
"Jangan kerana tinggal satu dan dua kerusi maka (MIC dan MCA) gopoh mencari rakan pergantungan baru yang sebenarnya adalah 'big brother'," katanya di Facebook hari ini.
Perikatan, BN bertahan lama
Pada 3 April lalu - seminggu setelah Umno membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu - MIC mengumumkan akan terus menyokong kerajaan PN yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Presiden MIC, S Vigneswaran, berkata pendirian itu akan terus dibuat begitu sehingga keputusan muktamad mengenainya dibuat Dewan Tertinggi BN.
Dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Tahunan ke-74 MIC beberapa hari lalu juga Vigneswaran turut mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin kerana mengikuti acara mereka melalui platform Zoom.
MCA juga tidak ketinggalan menyatakan pendirian mereka berhubung kerjasama dan penyertaan mereka dalam kerajaan.
Presidennya Wee Ka Siong semasa ditanya kesediaannya meletak jawatan jika diminta kepimpinan Umno - yang membuat keputusan untuk menarik diri pada bila-bila masa - memberitahu, sebarang keputusan mestilah dibuat secara konsensus.
Untuk rekod ketika ini MCA memiliki dua kerusi parlimen termasuk Ayer Hitam yang diwakili Ka Siong serta Tanjung Piai yang disandang Wee Jeck Seng.
Muhyiddin melantik Ka Siong sebagai menteri pengangkutan manakala Jeck Seng menjadi timbalan menteri perusahaan perladangan dan komoditi.
Seorang ahli parlimen MIC - M Saravanan - pula dijadikan menteri sumber manusia.
Mohd Puad berkata Umno tidak mengamalkan konsep "abang besar” dalam BN seperti didakwa pihak tertentu dan ia merupakan suatu fitnah kepada mereka.
Sebagai bukti, katanya BN dan sebelumnya Perikatan dapat bertahan dengan begitu lama.
"Sebab itu rakan parti komponen diberi peluang bertanding di kawasan majoriti Melayu seperti di Air Hitam (kawasan parlimen) dan Tenggaroh (kawasan DUN) di Mersing.
"Umno kekal menghormati kontrak sosial yang sudah lama wujud. Umno kekalkan sekolah vernekular.
"Semasa BN, ada Pelan Pembangunan Induk Masyarakat India 2016," katanya lagi.