Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membongkar kegiatan sindiket yang mengguna dan mengawal lebih 100 syarikat sebagai sebahagian daripada cara mereka memonopoli tender kerajaan dengan tertangkapnya tujuh suspek setakat ini.
Difahamkan sindiket terbabit mula beroperasi dengan licik untuk mengelirukan pelbagai pihak sejak kira-kira tujuh tahun lalu.
Menurut sumber sindiket berkenaan menubuhkan lebih 150 syarikat dengan matlamat menyertai persaingan tender yang dibuka kerajaan, namun ia dilakukan secara terancang.
Untuk melengkapkan langkah itu agar lebih meyakinkan, kata sumber, sindiket terbabit mengupah individu tertentu untuk berkhidmat sebagai pengarah di syarikat terbabit.
Katanya, dipercayai ada ratusan individu yang digunakan nama mereka untuk membuka syarikat tersebut.
"Apabila ada tender dibuka, syarikat-syarikat berkenaan menghantar cadangan dengan harga yang berbeza-beza kononnya mereka benar-benar berusaha mendapatkan kontrak tersebut.
"Bagaimanapun harga itu diolah agar ia berada pada harga siling dan kemudian kelihatan secara kebetulan menetapkan harga tertentu yang dikehendaki," katanya.
Dalam keadaan begitu, menurut sumber, tender tersebut akhirnya akan diberikan kepada syarikat tertentu yang sebenarnya mempunyai kaitan dan kepentingan dengan kira-kira 150 syarikat lain.
Kegiatan tersebut katanya dipercayai melibatkan dana bernilai sehingga RM3.8 bilion.
Menurut sumber sindiket berkenaan disyaki mendapat bantuan orang tertentu di kementerian dan jabatan kerajaan agar tender yang dibuka akhirnya diberi kepada salah satu syarikat yang mengemukakan sebut harga.
Sebelum itu katanya sindiket berkenaan memberi habuan kepada orang dalam terbabit agar dia dapat menyalurkan maklumat berkaitan seperti spesifikasi, kelayakan serta masa yang tepat untuk mengemukakan borang tender.
Sementara itu sumber SPRM mengesahkan setakat ini tujuh suspek ditahan dalam operasi yang bermula sejak semalam dan berlanjutan sehingga pagi tadi.
"Kemungkinan akan ada tangkapan lain dibuat selepas ini," katanya kepada Malaysiakini.
Menurut sumber SPRM itu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
"SPRM sudah memohon kebenaran menahan reman suspek daripada majistret Putrajaya," katanya.