Mengaitkan penangguhan pelaksaan Undi 18 dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata tiada alasan lagi untuk menangguhkannya selepas Bersatu sendiri meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar ia disegerakan.
Fahmi juga berpandangan sistem sedia ada sudah cukup untuk membolehkan Undi 18 - iaitu penurunan usia layak mengudi daripada 21 tahun ke 18 tahun - dilaksanakan pada September tahun ini.
"Kami (PH) dari awal berpendirian ia perlu dilaksanakan sekarang. Tiada alasan untuk menangguhkan melainkan alasan mereka (kerajaan) takut pada suara anak muda.
"Semua sistem sudah ada. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah sedia dan semua kelengkapan sudah ada," katanya kepada pemberita di program suntikan dos kedua vaksin Covid-19 kepada ahli Parlimen Wilayah Persekutuan, Klinik Kesihatan Kuala Lumpur hari ini.
Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk penurunan usia layak mengundi serta pendaftaran automatik diluluskan di Dewan Rakyat ketika pentadbiran PH.
Ia mendapat sokongan 211 daripada 222 ahli pada 16 Jul 2019. Sepuluh hari kemudian ia diluluskan di peringkat Dewan Negara.
Bagaimanapun status rancangan itu menjadi tanda tanya apabila Yang Dipertua Dewan Negara yang juga pemimpin Bersatu Rais Yatim berkata masa lebih panjang diperlukan untuk melaksanakannya.
Pada 25 Mac lalu, Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh mengumumkan penangguhan pelaksanaannya kepada September 2022 atas sebab persiapannya terjejas dengan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Menyentuh pendirian Rais, Fahmi yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai menyifatkan penangguhannya merupakan penghinaan terhadap institusi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
"Kalau kita ingat pada 16 Julai 2019, 211 ahli Parlimen, iaitu 95 peratus ahli Dewan Rakyat, telah meluluskan pindaan Perlembagaan. Ini sejarah dan tak pernah berlaku sebelumnya.
"Maka melewatkan pelaksanaan Undi 18 adalah satu penghinaan terhadap institusi Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan saya percaya kita bakal menyaksikan flip-flop terbaru Kerajaan PN, mereka telah memohon agar pihak SPR menyegerakannya," katanya.
Semalam Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin menggesa SPR menyegerakan perkara itu sebagai tanda mengiktiraf penglibatan golongan muda dalam politik.
Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dipetik Bernama berkata langkah itu perlu sebagai mengiktiraf peranan serta penglibatan golongan muda dalam politik.
“Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menegaskan bahawa parti mengiktiraf peranan serta penglibatan aktif anak muda dalam bidang politik dan aktiviti kemasyarakatan,” katanya seperti dipetik Bernama.