mk-logo
Berita
Penduduk jadikan Kampung Pulau Tengah destinasi pelancong

Kampung Pulau Tengah Kubang Kerian, di Kota Bharu terletak di pinggir sungai, dengan landskap alam semula jadi yang menakjubkan.

Lantaran itu, ia memberi inspirasi kepada penduduk setempat untuk menjadikannya salah satu destinasi pelancongan unik di negeri Kelantan.

Lebih menarik, ia diusahakan hasil kerjasama dan kreativiti penduduk setempat yang berganding bahu membangunkan kampung berkenaan.

Lokasinya yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari bandar Kota Bharu, kini bersedia menerima kehadiran pengunjung untuk menikmati biodiversiti dan keindahan alam semula jadi.

Pencetus dan penggerak inisiatif pembangunan Kampung Pulau Tengah, Mohd Hisyamuddin Ghazali, 46, berkata dia mengambil langkah pertama mengusulkan pembangunan ekopelancongan kampung mereka.

Ini selepas dia melihat kesusahan sebahagian penduduk ketika pandemik Covid-19 mula melanda negara.

Kata Mohd Hisyamuddin (gambar, atas), perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu memberi impak besar kepada penduduk yang bekerja sendiri.

"Apabila PKP tiga bulan, penduduk kampung yang kerja kerajaan tiada masalah kerana ada moratorium. Jadi, orang kampung yang bekerja sendiri, mereka ada masalah kerana tak boleh nak buat kerja.

"Mereka mempunyai masalah dalam aspek punca pendapatan. Ketika PKP, penduduk kampung tak boleh cari makan. Sebelum ini, mereka kerja sendiri seperti buat rumah, gali telaga dan nelayan sungai. 

"Tapi, bila tak dapat pergi ke mana-mana, mereka cari lokan di sekitar sungai ini untuk dijual sebagai sumber pendapatan.

"Keadaan itu mendorong saya dan penduduk di sini untuk mengusahakan Kampung Pulau Tengah ini dan alhamdulillah mendapat kerjasama yang baik," katanya ketika ditemui Malaysiakini, baru-baru ini.

Mohd Hisyamuddin berkata, mereka secara gotong-royong menyediakan kemudahan-kemudahan asas dan fasiliti untuk menarik minat pengunjung dan pelancong ke kampung tersebut.

Selain itu katanya, mereka juga merangka Pelan Pembangunan Koperasi Kampung Pulau Tengah di samping memohon kerjasama dan bantuan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan.

"Projek ini berjalan bawah Pertubuhan Komuniti Penduduk Pulau Tengah yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

"Setelah berjaya mendapat dana hasil kesepakatan orang kampung, mereka mula membina gerai-gerai kecil dan mewujudkan pelbagai aktiviti yang menarik untuk mencuri perhatian orang ramai.

"Apabila perancangan kami berkembang dengan konstruktif, secara tidak langsung ia banyak membantu penduduk kampung ini dari segi pendapatan seharian mereka untuk meneruskan kehidupan dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan," jelasnya.

Sementara itu, tinjauan Malaysiakini mendapati banyak aktiviti menarik pelancongan ditawarkan di Kampung Pulau Tengah.

Antaranya, aktiviti berkuda, kayak, menelusuri sungai Pangkalan Datu dan kegiatan mencari hasil sungai.

Selain itu, Taman Kelip-kelip Kelantan juga terletak di sini yang menawarkan penginapan, kolam mini, surau dan ruang parkir yang selesa.

Bermula dengan minat pada haiwan

Terdapat 18 buah bilik penginapan, empat buah restoran dan sepuluh buah unit gerai di Kampung Pulau Tengah.

Penternakan haiwan yang diusahakan penduduk seperti landak, ikan kelah, arnab, biri-biri serta ladang kelulut turut menjadi tarikan kepada pengunjung.

Kampung Pulau Tengah juga semakin dikenali dan sentiasa menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negeri.

Seorang penduduk Wan Habibi Wan Yusoff, 59, mengambil inisiatif pembangunan di kampungnya itu dengan mengusahakan tempat parkir dan mengenakan caj RM2 bagi setiap kenderaan.

"Dulu saya kerja sendiri, saya kerja kampung, tapi bila kampung ini membangun saya dapat pendapatan melalui perkhidmatan parkir. Ini maka pendapatan saya bertambah banyak.

"Ini memberi peluang untuk saya menambah pendapatan untuk menyara keluarga," katanya.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Abang Din, 50an, pula mengambil peluang untuk menjalankan aktiviti berkuda.

"Alhamdulillah, bermula dengan minat membela haiwan saya ambil peluang menyediakan khidmat menunggang kuda kepada pengunjung.

"Dengan hanya RM10 pengunjung boleh tunggang kuda untuk berkeliling di kawasan kampung ini.

"Sambutan semakin menggalakkan terutamanya pada hujung minggu atau cuti umum," katanya.

Dalam perkembangan itu, usaha yang diambil komuniti penduduk Kampung Pulau Tengah sedikit sebanyak mampu mengembangkan ekonomi penduduk dengan menyediakan peluang pekerjaan dan sewaan gerai-gerak untuk diusahakan.

Peniaga gerai, Nurul Izwani Ibrahim, 31, berkata munculnya Kampung Pulau Tengah sebagai satu destinasi pelancongan membuahkan rezeki buatnya sekeluarga.

"Alhamdulillah pembangunan di sini banyak sangat membantu saya. Hasil jualan semakin baik, sangat membantu untuk menampung keperluan saya sekeluarga.

"Dulu saya hanya berniaga di kawasan rumah, pelanggan hanya terdiri daripada orang kampung. Tetapi kini, apabila kampung kami dikenali, orang luar juga ramai datang dan membeli," katanya.

Sementara itu Mohd Hisyamuddin berkata usaha mereka juga mendapat membuka mata agensi kerajaan yang turut membantu.

Antaranya katanya, pihak JPS membina denai sungai sepanjang dua kilometer mengelilingi Kampung Pulau tengah.

"Untuk jangka masa panjang penduduk kampung akan berusaha menambahbaik jalan kampung dan kemudahan yang sedia ada. Kerajaan negeri Kelantan juga memberi beberapa bantuan untuk memajukan lagi pembangunan kampung mereka.

"Bantuan kerajaan setakat ini adalah memberi gazet tanah untuk Taman Kelip-Kelip di Kelantan lebih kurang lima ekar.

"Kerajaan juga buat denai berjumlah RM200,000 ribu yang terbahagi kepada dua fasa. Fasa pertama sudah siap manakala fasa kedua belum siap sepenuhnya lagi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS