Presiden PKR Anwar Ibrahim sekali lagi mengkritik Menteri Luar Hishammuddin Hussein berhubung kenyataannya di China, dengan menyifatkan ia memberi kesan yang bukan kecil dalam hubungan kedua-dua negara.
Malah Anwar berkata istilah "abang" yang digunakan Hishammuddin mungkin telah mengheret Malaysia 25 tahun ke belakang dalam soal dasar luar dengan China, serta menjejaskan usaha pegawai Wisma Putra selama ini.
"Pemerintah hari ini secara tidak langsung telah memberi mesej yang jelas pada dunia luar bahawa Malaysia bukan lagi negara yang berkecuali.
"Percubaan Menteri Luar untuk menutup kekeliruan yang timbul menampakkan kabinet Perikatan Nasional (PN) mempunyai pemahaman yang lemah terkait diplomasi, strategi, politik Asean dan juga China," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semasa sidang media bersama Wang Yi di China, Hishammuddin menggelarkan China sebagai “abang” kepada Malaysia, dan dibalas Wang Yi dengan ungkapan "Kita adik-beradik".
“[…] You will always be our elder brother (anda akan sentiasa menjadi abang kepada kami)," katanya. Wan Yi pula membalas dengan berkata "Kita bersaudara (We are brothers)".
Dalam penjelasannya semalam, Hishammuddin berkata ungkapan itu ditujukan kepada Menteri Luar China Wang Yi - yang lebih tua dan senior daripadanya - dan bukan merujuk hubungan Malaysia dengan negara itu.
Anwar berkata lagi, kerajaan PN telah melakukan kesilapan dalam banyak hal penting negara dan "kadarnya terus memuncak naik".
"Tanpa pengimbangan dari institusi Parlimen dan sikap kebertanggungjawaban pada badan eksekutif, keadaan nampaknya akan terus parah, dan terbaru membawa marabahaya pada kedaulatan negara," katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga sekali lagi membangkitkan keabsahan kerajaan PN yang sebelum ini didakwa tidak memiliki majoriti di Dewan Rakyat.
"Dunia tahu bahawa kerajaan hari ini tidak ada keabsahan demokratik untuk memerintah
"Negara sekutu mahupun seteru, baik para diplomat atau pun pemuka-pemuka korporat, mungkin sedang mencuba menggunakan kelemahan pemerintah hari ini sebagai kesempatan untuk mendapatkan keuntungan dalam keterlibatan mereka dengan Malaysia.
"Melihatkan keadaan PN yang terumbang ambing hari ini, kita bimbang segala keputusan yang dibuat hanya untuk terus menjamin kelangsungan kuasa, dan ia berpotensi akan mengorbankan kepentingan, keselamatan dan kedaulatan negara," katanya, yang sekali lagi menggesa Perdana Muhyiddin Yassin untuk berundur.