Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Prolintas: Alih kren gantri di lokasi insiden Suke kerja rumit
Diterbitkan:  Apr 4, 2021 8:27 AM
Dikemaskini: 12:27 AM

Kerja-kerja pengalihan kren gantri di tapak pembinaan Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) di Persiaran Alam Damai, Cheras di Kuala Lumpur melalui proses yang rumit.

Pihak Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan proses pengalihan itu akan mengambil masa selama seminggu susulan kren gantri terlibat akan dipotong kepada beberapa bahagian sebelum dibawa turun.

"Enam unit kren akan digunakan untuk kerja-kerja pengalihan tersebut selepas mendapat kelulusan daripada jurutera perunding seliaan dan pihak berwajib.

"Suke bersama kontraktor terlibat iaitu Syarikat Muhibbah Perniagaan dan Pembinaan Sdn Bhd (SMPP) telahpun memulakan kerja pengalihan kren gantri tersebut,” menurut kenyataan itu.

Katanya, kerja pengalihan kren gantri itu dijalankan selepas kerja-kerja fasa pertama iaitu penstabilan struktur rasuk dan kren gantri selesai dilaksanakan dan ia turut mengambil kira tahap keselamatan penduduk sekitar serta pekerja pembinaan.

Ahad lepas, Suke memaklumkan fasa pertama kerja pengalihan struktur kren gantri dan pembaikan bermula 27 Mac lalu selepas pihaknya menerima kelulusan daripada JKKP.

Dalam kejadian pada 22 Mac itu, tiga pekerja warga China maut manakala seorang pemandu cedera parah susulan satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan terbabit.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS