Paling Popular
Terkini

Seminggu setelah Umno membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu, MIC hari ini mengumumkan akan terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sementara menunggu keputusan muktamad dibuat Majlis Tertinggi BN.

Presiden MIC, S Vigneswaran dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung Tahunan ke-74 parti itu di Klang hari ini juga mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin yang turut mengikuti perhimpunan itu melalui platform dalam talian Zoom.

"Umno pada minggu lepas telah memutuskan untuk menoktah hubungan dengan PPBM (Bersatu) pada PRU yang akan datang. Bagi MIC kita menghormati keputusan atas semangat setiakawan Barisan Nasional.

"Bagaimanapun, MIC pada masa sekarang akan menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan berkerjasama dengan parti Bersatu hingga suatu perkembangan baru dalam keputusan majlis tertinggi BN.

"Biar kita tunggu dan lihat pergerakan politik untuk jangkamasa terdekat ini," katanya yang juga bekas speaker Dewan Negara.

Pada masa yang sama, Vigneswaran juga menzahirkan keyakinan bahawa Umno dan Bersatu boleh menyelesaikan perbezaan pendapat antara kedua-dua parti itu.

"Ingin saya menegaskan di sini, saya cukup yakin Umno dan PPBM dapat menyelesaikan perbezaan mereka sama seperti Umno dan PAS menguburkan masalah mereka walaupun saling bermusuhan selama 40 tahun," katanya.

Dalam ucapannya Vigneswaran juga berkata MIC diperuntukkan jawatan menteri oleh PN, walaupun tidak dicalonkan oleh sekutunya dalam BN.

Begitu juga, katanya, BN juga tidak mencalonkan pemimpin MIC untuk jawatan timbalan menteri atau Senator.

"Namun Demikian, secara ironi, kita masih dalam MIC," katanya.

Presiden MCA, Wee Ka Siong juga dilihat duduk di pentas utama bersama pemimpin MIC hari ini.

Sementara itu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, menyampaikan ucapan pada perhimpunan itu melalui persidangan dalam talian.

Pendirian MIC mengenai hubungan dengan Bersatu dan PN susulan langkah yang diambil Umno juga dibangkitkan dalam perhimpunan sayap parti itu semalam.

Timbalan Presiden MIC, M Saravanan berkata, jika keputusan dibuat untuk mengikut langkah Umno, parti itu mesti bersedia menjadi pembangkang dalam menghadapi PRU akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS