Paling Popular
Terkini

Pembukaan Perhimpunan Agung MIC yang berlangsung di sebuah hotel di Klang hari ini dihiasi dengan selingan pantun oleh beberapa pemimpinnya.

Ucapan dasar tersebut dimulakan oleh Ketua Putera MIC S Padmarajah, yang menyatakan beberapa isu yang perlu diberi perhatian oleh kementerian, antaranya berhubung isu kuota kemasukan ke matrikulasi bagi pelajar India.

Budak bukan sebarang budak
Budak tunggu di tepi lombong
Jalak bukan sebarang jalak
Jalak biasa menang bersabung

Jalak merupakan perkataan yang digunakan bagi merujuk ayam jantan yang ingin bersabung.

Sejurus kemudian, ia diakhiri dengan tepukan gemuruh dan siulan daripada penonton.

Setelah itu, ia disusuli pula dengan ucapan dasar Puteri MIC Pon Kogilam yang menggesa parti itu memberi ruang kepada wanita untuk dipilih sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Jalan kaki undur selangkah
Jangan tangan kudung sebelah
Jangan semangat jadi gundah
Cari sepakat biar berguna

Bagaimanapun ia menyalahi hukum pantun yang memerlukan rima untuk baris pertama dan ketiga serta kedua dan keempat sama.

Perhimpunan Agung MIC akan diadakan dua hari bermula hari ini di sebuah hotel di Klang.

Perhimpunan hari ini dimulai dengan ucapan perwakilan dari sayap Putera, Puteri, Pemuda serta Wanita.

Turut hadir memberi ucapan dasar tadi adalah Timbalan Presiden MIC M Saravanan, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Wanita Rosni Sohar.

Perhimpunan tersebut juga dilihat berlangsung dengan tenang dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Perwakilan dikehendaki memakai pelitup muka dan mendaftarkan diri dalam aplikasi MySejahtera sebelum dapat memasuki dewan persidangan.

Keadaan juga tidak sesak kerana difahamkan pengurusan perhimpunan tersebut telah mengehadkan kehadiran perwakilan.

Bahasa yang digunakan pada ucapan dasar tadi juga hampir keseluruhannya Bahasa Malaysia.

Sementara itu, Ketua Wanita MIC J Usha Nandhini pula menggesa kerajaan supaya segera membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) gangguan seksual.

Jelasnya kerana, dia berasa khuatir akan peningkatan kes gangguan seksual yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Memetik bunga di senja hari
Bunga dipetik untuk sendiri
Walau onak ranjau berduri
Ku perjuang wanita dalam parti

Bagaimanapun Ketua Pemuda MIC Thinalan T Rajagopalu tidak berpantun hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS