Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Hukuman setahun penjara pada pesalah cabul berulang tak cukup tegas'

Pengamal undang-undang dan kumpulan pejuang hak wanita menyatakan kebimbangan mengenai hukuman penjara satu tahun yang dijatuhkan terhadap pesalah berulang kerana mencabul seorang remaja.

Mereka berpendapat bahawa hukuman yang dikenakan Mahkamah Majistret Kota Bharu terhadap pesalah itu, yang mempunyai empat kesalahan mencabul sebelum ini, tidak cukup untuk menghantar mesej tegas.

Peguam kanan hak asasi manusia, Honey Tan menyifatkan hukuman itu sebagai sangat tidak mencukupi.

Dia mengatakan bahawa mahkamah seharusnya meminta mangsa untuk membuat pernyataan kesan setelah sabitan mengikut Seksyen 183A Kanun Prosedur Jenayah.

Dia berpendapat bahawa jika ini tidak dilakukan, maka mahkamah hanya akan mendengar situasi tertuduh bagi meringankan hukuman.

“Bagaimana dengan trauma yang dialami oleh mangsa? Trauma biasanya akan berlanjutan selama bertahun-tahun setelah jenayah disabitkan.

"Jelas pesalah itu tidak menyesal," katanya kepada Malaysiakini.

Sentimen serupa dikongsi oleh bekas timbalan pendakwa raya yang kini perupakan peguam, Chong Yin Xin, yang mengatakan bahawa hukuman mahkamah mesti menggambarkan betapa beratnya kesalahan tersebut.

Bercakap kepada Malaysiakini, dia mengatakan persoalan itu timbul kerana hukuman penjara satu tahun dijatuhkan kepada tertuduh walaupun telah empat kali bersalah atas kesalahan mencabul.

Dia menyorot hukuman yang tegas perlu kerana serangan dan gangguan seksual terlalu berleluasa dalam masyarakat hari ini.

"Sebilangan besar pelaku seksual melakukannya (gangguan seksual) kerana mereka fikir mereka dapat terlepas.

"Mahkamah harus memberi mesej yang jelas kepada masyarakat bahawa serangan seksual adalah tingkah laku yang sama sekali tidak dapat diterima," katanya.

Chong menegaskan bahawa walaupun tertuduh telah mengaku melakukan kesalahan itu, ia tidak seharusnya terlalu diambil kira kerana ia bukan kesalahan pertamanya.

Chong menyatakan bahawa bukti kukuh menunjukkan pesalah melakukan kesalahan tersebut yang dapat dilihat melalui rakaman video yang tular sebelum kes itu dibawa ke mahkamah.

"Saya percaya bahawa DPP harus membuat rayuan (terhadap hukuman mahkamah majistret) dan membiarkan Mahkamah Tinggi meneliti semula kes ini," katanya.

Chong mencadangkan agar Malaysia menubuhkan sebuah majlis untuk mempromosikan konsistensi hukuman yang lebih berat dalam masa sama mengekalkan kebebasan badan kehakiman.

Jernell Tan Chia Ee dari All Women’s Action Society (AWAM), menyatakan rasa kesal kerana menurutnya hukuman penjara satu tahun itu tidak mengambil kira tahap kesalahan tertuduh yang merupakan pesalah berulang.

"Hukuman satu tahun ini juga tidak menjadi penghalang bagi pelaku untuk berhenti melakukan kesalahan gangguan seksual, terutama bagi seseorang yang pernah disabitkan sebelumnya untuk kesalahan yang sama," katanya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Tan menegaskan bahawa walaupun tertuduh telah meminta hukuman yang ringan, hukuman itu tetap tidak dapat diterima kerana tidak berlaku adil terhadap mangsa selain kesan psikologi dan emosi.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Kapasiti Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) Melissa Akhir mengingatkan bahawa penjara hanyalah satu bahagian hukuman dan ada keperluan untuk meneliti langkah-langkah lain untuk mencegah kesalahan seksual di masa depan.

"Jika kita ingin mengubah tingkah laku, kita harus mencari langkah-langkah seperti terapi pemulihan.

“Kanun Prosedur Jenayah menetapkan bahawa pemulihan (tindakan) dapat diberikan kepada pesalah ketika dipenjara.

"Kita juga ingin melihat terapi pemulihan ditawarkan kepada orang yang disabitkan tapi tidak dipenjarakan, misalnya yang didenda atau telah menjalani hukuman penjara," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 31 Mac, Mahkamah Majistret Kota Bharu di Kelantan menjatuhkan hukuman penjara satu tahun kepada Amran Abdullah, 52 tahun, kerana mencabul seorang remaja.

Rakaman kamera litar tertutup kejadian cabul itu tular di media sosial minggu lalu.

Amran mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan kepadanya.

Pihak pendakwaan membangkitkan kesalahan jenayahnya sebelum ini di mahkamah rendah. Malaysiakini kemudian mendapati bahawa dia mempunyai empat hukuman kerana mencabul.

Mengikut kertas pertuduhan atas sabitan tersebut, Amran melakukan kesalahan terakhir di Jalan Hamzah, Lorong Limau Manis pada 25 Mac sekitar jam 9.40 pagi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS