Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Apakah Muhyiddin akan disiasat langgar SOP?
Diterbitkan:  Apr 2, 2021 9:27 AM
Dikemaskini: 1:32 AM

Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak mempersoalkan apakah tindakan akan diambil terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kerana tidak memakai pelitup dalam satu majlis di sebuah hotel.

Najib berkata, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini memberitahu individu yang telah menerima vaksin perlu tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Setahu saya, orang yang sudah diberi vaksin masih perlu ikut SOP. Ini yang Menteri vaksin Khairy kata tiga hari lalu.

"Ketua pengarah KKM juga pernah memberi amaran yang sama.

"Adakah PM8 juga akan disiasat langgar SOP?" soal Najib di Facebooknya.

Bekas perdana menteri itu juga mempersoal apakah Muhyiddin mendaftar masuk ke hotel berkenaan menggunakan aplikasi MySejahtera.

Najib merujuk kepada beberapa gambar disiarkan media yang menunjukkan Muhyiddin tiba di Hotel Zenith di Johor pada 31 Mac untuk mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor dan Perikatan Nasional Johor.

Dalam foto tersebut, Muhyiddin dilihat satu-satunya individu yang tidak memakai pelitup muka ketika melalui hotel berkenaan.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat perdana menteri untuk mendapatkan komen dan sedang menunggu jawapan.

Pemakaian pelitup muka di tempat awam diwajibkan sejak 1 Ogos tahun lalu. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan berkata individu yang ingkar boleh dikenakan denda RM1,500 dengan jumlah maksimum RM10,000.

Muhyiddin menerima dos kedua vaksin Covid-19 Pfizer dan BioNTech pada 17 Mac, setelah dos pertama diterimanya tiga minggu sebelum itu.

Sementara itu, Najib membandingkan dengan dirinya apabila dia dikecam kerana 'terlupa' mendaftar masuk Aplikasi Mysejahtera di sebuah kedai nasi ayam di Bukit Bintang pada 19 Mac.

Najib berkata polis telah merakam kenyataannya berhubung perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS