Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pihak berkuasa, kelab motosikal perlu bincang penyelesaian bersama'

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong digesa memberi perhatian terhadap keluhan penunggang motosikal, kata Kelab Motosikal Sedarah.

Timbalan Presidennya Armand Azha Abu Hanifah berpendapat Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak polis, peniaga kedai serta NGO dan kelab motosikal sewajarnya mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian isu ekzos motosikal yang hangat diperkatakan.

“Bagi saya baik daripada sudut pengguna mahupun penguatkuasaan harus cari jalan penyelesaian ini untuk jangka masa panjang,” katanya kepada Malaysiakini.

Jelas Armand, jika dibandingkan dengan di luar negara, salah satu sebab penggunaan ekzos 'aftermarket' (bukan dari pengeluar asal) adalah agar pengguna kenderaan lain terutama yang memandu kenderaan lebih besar seperti lori menyedari kehadiran motosikal berhampiran mereka.

“Pihak kerajaan harus lihat daripada sudut positif atau keselamatan mengenai ekzos ini,” katanya.

Pada 28 Mac lalu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata kesalahan menggunakan ekzos bising motosikal hanya akan dikenakan tindakan advokasi melalui Notis 114, iaitu pengeluaran notis untuk temu siasat.

Sebelum itu, Malaysiakini melaporkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa penggunaan semua ekzos 'aftermarket' adalah salah di sisi undang-undang.

Ia berikutan satu hantaran di media sosial yang tular berkenaan, seorang pengguna motosikal meluahkan rasa berang apabila disaman pihak polis kerana ekzos aftermarket yang dipasang pada motosikalnya meskipun bunyi ekzos tidak melebihi kadar yang ditetapkan.

Kerajaan sebelum ini menguatkuasakan saman hingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan kepada pemilik motosikal yang mengubah suai kenderaan menggunakan ekzos bising.

Di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis diberikan kuasa menyita motosikal bagi mengelakkan kesalahan sama berulang.

Sementara itu, Armand juga menyorot bahawa terdapat pengguna yang membeli kenderaan terpakai yang mempunyai sistem ekzos yang sudah diubah suai oleh pemilik asal.

Justeru, dia menggesa pihak berkuasa memperhalusi garis panduan yang memenuhi keperluan semasa.

“Ramai pengguna kenderaan khususnya pemilik kenderaan terpakai serta ‘recon’ menjadi mangsa keadaan kerana sistem ekzos telah dimodifikasi sebelum dibeli. 

“Kami berharap pihak berkuasa mengkaji semula akta ini selaras keperluan semasa dan bukan hanya menghukum dengan saman serta ancaman penjara," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS