Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya letak jawatan GLC demi hormati keputusan Umno'

Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman menegaskan keputusannya melepaskan jawatan sebagai pengerusi Kesedar Kilang Sdn Bhd milik Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) adalah sebagai menghormati akar umbi yang membuat keputusan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU), baru-baru ini.

Katanya, keputusan parti sudah jelas untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan keputusan itu perlu dihormati.

"Apabila akar umbi melalui PAU membuat keputusan saya kira kita perlu hormati dan berprinsip.

"Jadi saya terjemahkan ketetapan yang dibuat oleh parti dengan peletakan jawatan saya ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, bekas anggota dewan undangan negeri (Adun) Semerak itu mengumumkan pengundurannya dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan serta-merta dalam satu perjumpaan dengan pimpinan akar umbi Umno bahagian Pasir Puteh, malam semalam.

Sebelum ini, Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub menjadi pimpinan Umno di negeri itu yang bertindak demikian dengan melepaskan jawatan pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Januari lalu.

Sementara itu Zawawi berkata, Umno mempunyai 'saham besar' sebaliknya tidak memperolehi manfaat sewajarnya sepanjang berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), kecuali kepada mereka yang dilantik menjadi menteri dan bersikap membelakangi keputusan parti.

"Pada saya mereka ini tidak berprinsip dan tidak hormati keputusan yang dibuat oleh presiden yang dipersetujui setiap peringkat pimpinan," katanya.

Sehubungan itu Zawawi berkata surat peletakan jawatannya akan berikan kepada timbalan menteri pembangunan luar bandar pada Isnin depan.

"Saya memegang jawatan ini sejak 2015 dan berhenti selepas PRU14 sebelum khidmat saya disambung semula selepas PH jatuh.

"Sepanjang pegang jawatan ini, saya tak pernah tuntut sebarang elaun pun walaupun memang disediakan elaun RM800 setiap kali hadir mesyuarat serta kemudahan-kemudahan lain," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS