Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Alat ganti aftermarket lebih murah, mudah diperoleh'

Meskipun Kementerian Pengangkutan baru-baru ini mengumumkan tiada saman dikenakan terhadap kesalahan ekzos bising yang diubah suai, penunggang motosikal masih menyatakan rasa kecewa dengan larangan penggunaan alat ganti 'aftermarket' (bukan daripada pengeluar asal).

Dalam tinjauan Malaysiakini, rata-rata penunggang motosikal berkata mereka sendiri tidak setuju dengan tindakan penununggang yang menggunakan ekzos 'aftermarket' yang terlalu bising sehingga menyusahkan orang lain.

Namun, mereka menambah bahawa tidak semua penunggang motosikal seperti itu dan kebanyakannya mempunyai sebab lain menggunakan alat ganti 'aftermarket'.

Salah seorang penunggang motosikal yang hanya mahu dikenali sebagai Fandi berkata dia kini ragu-ragu untuk menukar cermin sisi motosikalnya yang sudah rosak dengan alat ganti 'aftermarket'.

Jelasnya, dia kini sudah tidak pasti garis panduan sebenar yang dibenarkan pihak berkuasa memandangkan sesetangah alat ganti 'aftermarket' mempunyai reka bentuk dan fungsi yang sama dengan alat ganti dari kilang pengeluar.

Harga lebih murah, mudah diperoleh

“Nak tukar tapi takut sebab tak pasti apa yang boleh dan tak boleh. Benda tu jadi rumit.

“Kedai aksesori pula cadangkan lepas (kalau ditahan polis) tapi kena juga berhati-hati, nanti kena kat roadblock (sekatan jalan raya),” katanya.

Mengakui terdapat penunggang motosikal yang menggunakan alat ganti 'aftermarket' kerana gilakan trend, namun Fandi berkat kebanyakan pengguna memilih alat ganti seumpamanya kerana harganya jauh lebih murah dan mudah diperoleh berbanding alat ganti dari kilang pengeluar.

“Kalau betul-betul tak boleh, sekat (barangan) dari kastam atau penguat kuasa saman kedai aksesori yang jual (barangan tak dibenarkan) atau buat rampasan.

“Sebab tak guna bila buat roadblock,” katanya.

Pada 28 Mac lalu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata kesalahan menggunakan ekzos bising motosikal hanya akan dikenakan tindakan advokasi melalui Notis 114, iaitu pengeluaran notis untuk temu siasat.

Kata Wee, perkara itu telah dimaklumkan olehnya kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Zailani Hashim agar pesalah tidak dikenakan tindakan saman.

Kenyataan itu hadir beberapa hari selepas Malaysiakini melaporkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa penggunaan semua ekzos 'aftermarket' adalah salah di sisi undang-undang.

Ia berikutan satu hantaran di media sosial yang tular berkenaan seorang pengguna motosikal meluahkan rasa berang apabila disaman pihak polis kerana ekzos aftermarket yang dipasang pada motosikalnya meskipun bunyi ekzos itu pada kadar yang dibenarkan.

Pengubahsuaian yang tidak terlalu kuat

Sementara itu, seorang lagi penunggang motosikal, Qallam Ahmad, 32, berkata bunyi ekzos yang terlalu senyap menyebabkan pemandu kereta tidak menyedari kehadiran motosikal mereka di atas jalan raya.

“Bagi saya lain orang lain pendapat… Saya tak suka yang perlahan sangat sebab bila jalan sesak ke apa kat lampu trafik, sesetengah pemandu dia tukar lorong macam tu je.

“Kalau bunyi ekzos yang kuat sikit, dia boleh alert (sedar),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Qallam yang menunjukkan saman yang dikenakan kepadanya oleh pihak polis pada pertengahan Mac lalu kerana menggunakan ekzos 'aftermarket' berkata dia sedia maklum mengenai pengubahsuaian ekzos yang bising menyalahi undang-undang.

Namun, katanya, dua tidak sangka pengubahsuaian bunyi yang tidak terlalu kuat sepertinya turut menjadi sasaran ketika sekatan jalan raya.

“Setahu saya kalau (pemeriksaan) ekzos ni, kalau dia (pihak berkuasa) turun (buat sekatan), Jabatan Alam Sekitar akan guna device dia dan letakkan di tempat tertentu - SOP tak boleh dari berapa kalau pulas - bacaan RPM berapa.

“Tapi yang saya kena hari tu lubang angin lebih besar daripada yang biasa, dia terus saman (tanpa buat ujian bunyi),” katanya yang menggunakan motosikal model Yamaha Y15.

Qallam juga berkata sekiranya ekzos 'aftermarket' adalah kesalahan, kerajaan seharusnya terus membuat serbuan ke kedai aksesori motosikal.

Kerajaan sebelum ini menguatkuasakan saman hingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan kepada pemilik motosikal yang mengubah suai kenderaan menggunakan ekzos bising.

Di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis diberikan kuasa menyita motosikal bagi mengelakkan kesalahan sama berulang.

Letak notis

Baharudin Suarnur, pengguna jalan raya yang menjadikan motosikal sebagai mod pengangkutan bagi mengelakkan kesesakan jalan, berkata, penguatkuasaan undang-undang dalam isu ekzos bising memang wajar terhadap penunggang motosikal yang sehingga mengganggu kejiranan.

Namun, katanya, ada juga pengguna yang berpandangan bahawa sesetengah ekzos yang bukan daripada pengeluar asal dikatakan memberi fungsi penjimatan minyak.

“Sesetengahnya suka memecut motor di kawasan perumahan. Ada rumah yang mempunyai anak kecil dan orang tua yang dah uzur. Kadang-kadang sampai malam pun ada menunggang dengan laju.

“Namun, sesetengah ekzos 'aftermarket' bukan hanya untuk bergaya atau bunyi sahaja, tetapi untuk meningkatkan performance di mana membantu penjimatan minyak sebab pulas minyak sedikit pun dah cukup untuk memecut dengan lebih baik,” katanya.

Menjelas lanjut mengenai barangan motosikal yang bukan keluaran asal, Baharudin berkongsi pandangan bahawa bunyi ekzos juga menjadi ciri keselamatan apabila memintas kenderaan yang lebih besar seperti lori di atas jalan.

"Dengan sedikit ‘bunyi’ pemandu lori atau bas tersebut juga sedar ada motosikal berhampirannya,” katanya.

Katanya, penunggang motosikal juga boleh terkeliru dengan alat ganti'aftermarket' yang kemungkinan digambarkan oleh peniaga aksesori sebagai memenuhi spesifikasi yang dibenarkan.

“Patutnya letak notis di setiap ekzos atau barangan aftermarket ‘for racing use only’ - sekiranya untuk perlumbaan dalam trek barulah boleh menggunakkannya di motosikal,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS