Pengerusi Umno Perlis, Shahidan Kassim menyaran supaya pemilihan parti itu tidak ditangguhkan dan dilaksanakan mengikut Perlembagaan Umno.
Shahidan berkata, bagaimanapun Majlis Tertinggi (MT) boleh membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan selama 18 bulan.
"Perlembagaan parti kata bulan enam kena buat pemilihan parti, tapi MT boleh minta tangguh selama 18 bulan.
"Bagi saya pemilihan elok dibuat mengikut Perlembagaan. Saya tak setuju kata (pemilihan) awal," katanya dalam sidang media di ibu kota, hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berpendapat hanya ada satu cara untuk menyelesaikan kemelut dalaman Umno iaitu dengan mengadakan pemilihan parti pada tahun ini.
Katanya, pemilihan Umno perlu dilaksanakan mengikut jadual sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-15 diadakan.
“Hanya satu cara untuk menyelesaikan kemelut dalaman Umno. Segerakan pemilihan parti. Jangan tangguhkan sehingga selepas PRU.
“Sepatutnya pemilihan diadakan tahun ini,” katanya menerusi Instagram Story.
Dalam pada itu Shahidan menyeru pemimpin politik supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjelaskan ekonomi negara.
Tanpa merujuk kepada mana-mana pemimpin politik, Shahidan berkata ekonomi negara jatuh bila sesuatu pendirian ekonomi dibuat yang menampakkan kerajaan tidak stabil.
"Bolehkah keluarkan kenyataan yang menguntungkan ekonomi," katanya.