Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP gesa kerajaaan cegah monopoli dalam ekonomi gig
Diterbitkan:  Mar 31, 2021 3:30 PM
Dikemaskini: 7:30 AM

Kerajaan harus membuat kajian lanjut terhadap Akta Persaingan Ekonomi 2010 dan pendekatan-pendekatan lain bagi mencegah monopoli dalam ekonomi gig, kata Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir.

Kata Akmal, dia bersetuju dengan kebimbangan yang disuarakan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar berkenaan keadaan ekonomi gig yang boleh membuka ruang monopoli seperti Grab.

“Tidak dinafikan syarikat-syarikat yang dimaksudkan ini mempunyai kelebihan dan memanfaatkan sepenuhnya peluang sebagai penggerak pertama, namun ia masih tidak boleh lari dari risiko berlakunya amalan monopoli yang tidak terkawal dan berpotensi menjadi krisis yang besar di masa hadapan.

“Oleh sebab itu, kerajaan wajar melaksanakan kajian susulan terhadap Akta Persaingan 2010 bagi memastikan tiada kelompongan yang boleh dimanipulasi oleh pemain industri untuk tujuan monopoli dalam perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, ekonomi gig secara relatifnya merupakan model ekonomi baru yang semakin berkembang, dan oleh itu, ia wajar dipantau secara dekat oleh kerajaan.

Secara khusus, katanya, kerajaan perlu memastikan industri berkenaan mampu memberi perlindungan sebaiknya kepada pekerja yang terlibat.

Akmal membangkitkan bahawa hanya tujuh peratus daripada anggaran 400,000 pekerja ekonomi gig yang berdaftar di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ini walaupun setelah 70 peratus caruman Perkeso telah disubsidi kerajaan, dan pekerja hanya perlu membayar 30 peratus caruman.

“Oleh itu kerajaan perlu melihat penambahbaikan dalam hal ini kerana pekerja ekonomi gig juga turut terdedah dengan risiko kemalangan yang tinggi,” katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS