Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang wanita warga emas yang dipercayai mempunyai masalah kesihatan dan berhalusinasi maut selepas terjatuh ke dalam perigi di belakang dapur rumahnya di Kampung Bekelam, Bachok, Kelantan, hari ini.

Dalam kejadian jam 7 pagi tadi, mangsa, Gan Lang Eng, 68, ditemui anaknya di dalam perigi selepas dia menyedari ibunya tiada di dalam bilik di rumahnya sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.06 pagi sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa berada di dalam telaga berkenaan.

“Setibanya di lokasi pada jam 8.26 didapati benar seorang mangsa wanita dikhuatiri mati lemas di dalam perigi di rumahnya.

"Operasi menyelamat dilakukan dengan kekuatan sembilan anggota bomba dan berjaya mengeluarkan mangsa," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambah Yus Heary lagi, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan klinik kesihatan terdekat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Pemeriksaan ditempat kejadian tiada menjumpai sebarang unsur yang boleh dikaitkan dengan jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

"Mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat dan siasatan masih diteruskan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS