Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai perikanan didakwa salah guna kuasa lulus tender syarikat adik ipar

Seorang pegawai Jabatan Perikanan Malaysia didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini dengan tuduhan salah guna meluluskan tender bernilai RM71,694 kira-kira dua tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Mohd Rafi Hassan, 56, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, Mohd Rafi sebagai Ketua Cawangan Akuakultur di Pejabat Perikanan Kelantan menggunakan jawatan bagi mendapatkan suapan apabila meluluskan tender kepada syarikat YY Indah Enterprise yang dimiliki adik iparnya.

Tender tersebut bagi membekal dan menghantar tangki akuakultur kepada Pejabat Perikanan Kelantan dengan nilai pembekalan RM71,694.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Pejabat Perikanan Kelantan di Kota Bharu pada 12 Mei 2019.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, manakala tertuduh diwakili peguam Cheah Poh Loon.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Nor Hamizah memohon jaminan dikenakan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan meminta syarat dikenakan termasuk penyerahan pasport serta melaporkan diri di pejabat SPRM.

Cheah pula memohon jaminan minimum dikenakan memandangkan anak guamnya masih bertugas sebagai pegawai Jabatan Perikanan di Putrajaya dan tiada sebab untuk tidak memberi kerjasama kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh juga diarahkan menyerahkan pasport dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan.

Hakim menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan semula kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS