Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sedia 'langgar' Pagoh, Umno Johor mahu autonomi rancang PRU15

Umno Johor sedia bertembung dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di kubu kuatnya, iaitu kerusi Parlimen Pagoh, pada PRU15, kata pengerusinya Hasni Mohamad.

Justeru, Hasni yang juga menteri besar Johor meminta kepimpinan parti memberi kuasa autonomi kepada Umno Johor untuk membuat perancangan menghadapi PRU tersebut.

Apatah lagi Bersatu seperti ingin menjadikan Johor sebagai "lubuk" parti itu apabila Muhyiddin sendiri menjadi pengerusinya walaupun dia sibuk dengan tugasnya sebagai perdana menteri, katanya lagi.

"Bagilah Johor autonomi sama seperti yang dipohon oleh (Umno) Pahang.

"Saya sudah bentangkan pandangan Umno Johor bahawa kita ingin bertanding 26 kerusi. Keputusan BN Johor (sebelum ini) tanding semua kerusi melainkan (Parlimen) Pagoh kerana kita hormat perdana menteri.

"Tetapi Umno Pagoh kata mereka tidak benarkan perdana menteri bertanding tanpa sebarang pertandingan (perlawanan) daripada Umno," katanya ketika membahas ucapan dasar presiden Umno pada Perhimpunan Agung UMNO 2020, di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.

Hasni mendakwa tinjauan di Pagoh mendapati sokongan terhadap PN hanyalah sebanyak 19.8 peratus, manakala BN dengan 24.4 peratus dan Muafakat Nasional (MN) 37.1 peratus.

Begitu juga dengan tinjauan terhadap pengundi Melayu di seluruh negeri yang menunjukkan hanya 26 peratus menyokong PN, dakwanya lagi.

Pada 2 Jan lalu, pendirian Umno Johor adalah untuk memberi laluan kepada Muhyiddin mempertahankan parlimen Pagoh pada PRU15. Bagaimanapun keputusan itu dibantah pimpinan bahagian Pagoh.

Pada PRU 2018, Muhyiddin dengan sokongan PH mengekalkan kemenangan di Pagoh dengan majoriti 6,927 undi dalam pertembungan tiga penjuru melawan calon Umno dan PAS.

Bagaimanapun, keadaan mungkin sukar untuknya pada PRU akan datang jika pengundi bukan Melayu - yang merangkumi kira-kira 34 peratus pengundi di sana - tidak menyokongnya.

Untuk meningkatkan peluang kemenangan, dia perlu mendapat sokongan pengundi PAS, yang pada masa ini di tengah-tengah antara pertembungan Umno dan Bersatu.

Sementara itu, perwakilan Negeri Sembilan Ismail Lassim berharap Umno tidak menutup pintu "serapat-rapatnya" terhadap Bersatu, meskipun telah memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama.

"Walau kita putus hubungan, jangan kita tutup pintu serapat-rapatnya sehingga tidak boleh langsung untuk kita menggerakkan usaha penyatuan seperti ini.

"Seperti kata cakap orang Melayu, janganlah kita berkerat rotan berpatah arang dengan sesiapa pun.

"Selepas PRU, mungkin walaupun kita yang terbesar, takut-takut kita tetap tak mampu untuk tubuh kerajaan secara sendiri," katanya.

  • Laporan bersama Kow Gah Chie, Haspaizi Zain, Ng Xiang Yi, Ramieza Wahid dan Low Choon Chyuan 

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS