Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak gentar mengenai pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan mengundi pada usia 18 tahun (Undi18) malah mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempercepatkan pelaksanaan proses itu.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun, berkata dia telah menerima penjelasan daripada Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh baru-baru ini mengenai penangguhan pelaksanaan proses itu.
Membidas dakwaan sesetengah pihak kononnya PN mempunyai kaitan dengan penangguhan pelaksanaan proses berkenaan, Muhyiddin berkata keputusan tersebut dibuat oleh badan bebas itu sendiri setelah mengambil kira pelbagai aspek pelaksanaannya.
"Ini bukan mengenai kerajaan PN. Ia adalah tentang suruhanjaya yang kami sokong. Apa juga usaha mereka (SPR) untuk selesaikan kerja-kerja mereka, kita bantu. Tetapi keupayaan dalam situasi pandemik dan sebagainya, tidak boleh buat begitu (laksanakan pendaftaran automatik dan Undi18).
"Oleh itu, saya menerima penjelasan SPR. Kita tidak boleh debat tentang isu itu (pelaksanaan), jadi kalau boleh, segerakan," kata ahli Parlimen Pagoh itu pada sidang media selepas merasmikan Zon Ekonomi Khas Pagoh fasa pertama, di Muar, hari ini.
Muhyiddin menjelaskan dia juga ada bertanyakan kepada SPR sama ada pelaksanaan itu boleh dipercepatkan dari tarikh yang diberikan SPR iaitu seawal 1 Sept 2022.
"(SPR kata) Kalau boleh September (2022), itu pun paling cepat. (Saya tanya) kalau boleh September tahun ni? Dia kata tak boleh. Habis nak paksa macam mana.
"Jadi kita semua emosi mengenainya...ia bukan mengenai kerajaan PN takut kepada orang muda. Nanti daftar, lepas itu tak sokong PN. Saya percaya sebahagian besar anak muda ini menyokong kerajaan...jadi lagi cepat lagi bagus.
“Tapi nak buat macam mana. Ini soal yang berbangkit...jadi kita perlu realistik mengenainya, tak perlu politik sangat. Biar kita lihat bagaimana SPR boleh melaksanakan tanggungjawabnya,” kata Muhyiddin yang juga Adun Gambir.
Sambil menekankan keputusan itu diputuskan sendiri SPR, dia berkata badan bebas itu ada menjelaskan bahawa mereka tidak mampu melaksanakannya dalam masa terdekat memandangkan pelbagai aspek harus diambil kira dan melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Dia (Pengerusi) menerangkan, keupayaan untuk melaksanakannya bukan sahaja datang dari SPR, tetapi juga badan-badan lain. (Contohnya) Jabatan Pendaftaran Negara...kalau nak didaftarkan secara automatik, kena semak kad pengenalan, dia (pemilih) punya alamat...jadi ini kerja-kerja yang besar, melibatkan jutaan pengundi baru, jadi saya tak boleh pertikaikan," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas mengenai sama ada keputusan SPR itu adalah satu keputusan yang relevan.
Kelmarin, SPR dalam satu kenyataan mengumumkan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18, dijangka hanya boleh dilaksanakan selepas 1 Sept 2022.
Keputusan itu menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat dan parti politik yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan langkah tersebut.
-Bernama