Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalau 18 tahun belum matang, Puteri Umno mahu k'jaan bertindak segera

Ketua Puteri Umno berkata, sekiranya pelaksanaan Undi 18 ditunda atas alasan golongan terbabit tidak matang atau belum bersedia, maka kerajaan harus bertindak segera bagi mengatasinya.

Jelas ketuanya Zahida Zarik Khan sebenarnya tiada alasan untuk kerajaan melengahkan pelaksanaan usaha tersebut.

“Tidak ada alasan untuk melengahkan perlaksanaanya.

“Jika ada yang berkata mereka tidak cukup matang untuk memikul tanggungjawab ini, maka kita tuntut kerajaan untuk segera melaksanakan langkah drastik mematangkan mereka dalam tempoh yang terdekat.

“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung Puteri Umno di PWTC hari ini.

Baru-baru ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pelaksanaan Undi 18 serta pendaftaran automatik terpaksa ditangguhkan sehingga selepas Sept 2022 kerana persediaannya terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan pernah membayangkan dasar itu sedia untuk dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.

Pengkritik berpendapat tidak ada sebab mengapa pendaftaran pengundi sedia ada tidak dapat diperluas kepada mereka yang berusia 18 tahun.

Ekoran kenyataan SPR itu pelbagai pihak menyatakan rasa kecewa dan marah termasuk Umno sendiri. Bagaimanapun semalam Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberikan justifikasi atas langkah berkenaan.

Kata Abdul Hadi PAS menyokong langkah kerana idea tersebut merupakan konsep demokrasi ciptaan Barat sedangkan parti itu berpendapat kelayakan mengundi bergantung kepada kematangan seseorang.

"Kita tak boleh terpengaruh dengan Barat," kata Abdul Hadi. 

Namun untuk rekod ketika usul meminda perlembagaan bagi membolehkan semua warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas menjadi pengundi mendapat sokongan semua ahli parlimen, termasuk wakil PAS.

Abdul Hadi sendiri hadir dan menyokong usul dibawa kerajaan Pakatan Harapan itu.

Zahida berkata golongan muda harus diajar tentang pentingnya mengundi dan mengenal maksud kerajaan yang baik serta tanggungjawab Parlimen.

“Mereka mesti dididik untuk menilai tentang menjadi ahli parlimen atau wakil rakyat yang baik, mampu berhujah dengan tertib dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab di tempat masing-masing.

“Anak muda tidak boleh terima bagaimana rakyat memilih wakil rakyat yang mewakili mereka tetapi apabila sudah menang senang-lenang bercuti berbulan-bulan di luar negara,” jelasnya lagi.

  • Laporan bersama Kow Gah Chie, Haspaizi Zain, Ng Xiang Yi, Ramieza Wahid dan Low Choon Chyuan 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS