Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, usaha parti itu menghadapi musuh nyata jauh lebih mudah berbanding menentang musuh yang tersembunyi.
Malah katanya kesan daripada perbuatan pihak sebegitu jauh lebih besar kepada parti.
Menjelaskan faktor-faktor yang perlu diberi perhatian dalam usaha Umno memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang, Mohamad berkata ada beberapa aspek yang perlu diberi penekanan, termasuk mengenali musuh sebenar.
Api dalam sekam sifatnya membakar lebih teruk, lebih sakit dan lebih memusnahkan.
"Umno sepatutnya sudah tahu siapa mereka walaupun tanpa perlu untuk disebutkan di sini," katanya berkias semasa menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di Kuala Lumpur hari ini.
Tanpa menjelaskan siapakah pihak yang dimaksudkannya, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata Umno perlu beringat kerana "musuh" terbabit sangat licik dan sanggup berbuat apa saja untuk memusnahkan parti.
"Kedua Umno mesti menguruskan mereka yang berpura-pura mendukung Umno tetapi jiwa mereka sebenarnya telah dibeli dengan murah sekali.
"Mereka ini masih memerlukan Umno untuk bernaung, tetapi cinta dan hati mereka sudah kepada orang lain.
"Mereka telah digelapkan dengan kesenangan yang bersifat kebendaan. Pada mereka, Umno tidak lebih daripada sekadar tunggangan.
"Apabila kuat, mereka dekat. Bila lemah, mereka mengalah. Ingat, Umno ini bukan dayus. Sesiapa yang curang dan khianat wajar ditinggalkan selama-lamanya," kata Mohamad
Untuk rekod ada sekumpulan pihak dalam Umno kini kurang disenangi kerana dianggap cenderung memihak kepada parti serpihan mereka, Bersatu, yang diterajui Muhyiddin Yassin.
Antara nama yang sering dikaitkan dengan kumpulan itu - digelar sebagai "kluster kabinet" ialah Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.
Pertembungan itu berpunca daripada keputusan majoriti Umno bahagian dan Majlis Tertinggi Umno untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Sementara itu ditemui media selepas perasmian, Mohamad ditanya mengenai kenyataan berkenaan dan siapah yang dianggap sebagai musuh dalam selimut itu.
Menurut Mohamad kenyataan tersebut dibuat secara umum dan tidak menuduh sesiapa.
“Saya tak tuduh sesiapa, tapi kalau ada yang terasa, ikutlah (terpulanglah),” jelasnya lagi.
- Laporan bersama Kow Gah Chie, Haspaizi Zain, Ng Xiang Yi, Ramieza Wahid dan Low Choon Chyuan