Umno boleh berkawan dengan sesiapa saja yang boleh membawa keuntungan kepada parti itu asalkan bukan dengan syaitan, kata Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.
Jelasnya, dalam politik tiada istilah kawan atau musuh yang kekal buat selama-lamanya.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Gua Musang itu tidak menjelaskan sama ada kenyataan tersebut dibuat ada berkait dengan spekulasi yang bertiup kencang membabitkan Umno dengan PKR ketika ini.
"Kita boleh berkawan dengan sesiapa pun. Dalam politik orang selalu kata tiada kawan yang kekal dan tiada musuh yang kekal.
"Jadi kalau benda itu berfadaeh kepada negara berfaedah kepada rakyat kita akan berpakat dengan sesiapa pun untuk menghasilkan cita-cita itu.
"Asalkan kita tidak berpakat dengan syaitanlah," katanya dalam wawancara bersama portal Malaysiapost, malam ini.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Tengku Razaleigh - yang sebelum ini mengajak ahli Umno mengundi menolak Belanjawan 2021 - mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.
Ahmad Zahid dan Najib adalah antara pemimpin Umno yang kini giat mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini, Umno dikaitkan dengan kerjasama dengan PKR apabila Anwar Ibrahim mengesahkan wujud perbincangan di antara pihaknya dengan parti berkenaan.
Bagaimanapun pada 24 Mac lalu, Ahmad Zahid menafikan spekulasi parti itu mungkin bekerjasama dengan PKR menjelang PRU akan datang.
Menurut Zahid, tiada perbincangan seumpama itu antara dua parti tersebut.
"Ya, saya dan Anwar berjumpa di Parlimen, di majlis perkahwinan, tetapi langsung tiada perbincangan, rasmi atau tak rasmi.
"Bukan dengan saya, bukan dengan (timbalan presiden Umno) Mat Hassan," katanya seperti dipetik The Star.
Mengulas mengenai kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN), Tengku Razaleigh menyertai segelintir pemimpin partinya yang mendesak agar PAS membuat keputusan sama ada mahu bersama mereka atau atau PN.
"Jadi kita tak mahu kata kita tak nak berkawan dengan sesiapa. Dengan PAS kita dah dirikan BN... PAS menjadi pengasas, tapi kita sudah bercerai.
"Dan kita rujuk balik dengan PAS dalam MN. Tapi Kita dengar PAS berpakat dengan Bersatu dalam PN.
"PAS ada pilihan sama ada nak kekal dalam MN atau kekal dalam PN. Kalau kekal (dalam PN) macam mana nak jalankan muafakat?" katanya lagi.