Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai Santhara persoal wibawa Sanjeevan
Diterbitkan:  Mar 26, 2021 9:52 PM
Dikemaskini: Mar 27, 2021 2:12 AM

Pegawai Edmund Santhara Kumar menyerang balas aktivis Sanjeevan Ramakrishnan kerana mengkritik timbalan menteri Wilayah Persekutuan itu dalam isu percutian luar negara ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

R Dineshwaran, setiausaha sulit Santhara, dalam kenyataannya membangkitkan isu kewibawaan Sanjeevan sebagai ketua Pemuda Negara Negeri Sembilan, NGO yang dikaitkan dengan Azmin Ali.

"Saya ingin meminta penjelasan sekiranya sabitan jenayah Sanjeevan sebelum ini yang melanggar akta pertubuhan akan menyebabkan beliau tidak layak untuk memegang sebarang jawatan dalam mana-mana pertubuhan atau persatuan termasuk Pemuda Negara.

"Saya juga mencadangkan Sanjeevan memberikan tumpuan kepada wakil-wakil rakyat yang tidak melaksanakan tanggungjawab dan tugas dengan baik atau membersihkan reputasi beliau yang dikenakan pelbagai sabitan jenayah termasuk pemerasan," katanya.

Pemuda Negara ditubuhkan selepas Azmin dan anggota parlimen yang menyokongnya keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) pada Feb 2020.

Sanjeevan sebelum ini dihukum penjara tiga bulan dan denda RM7,000 selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Majistret pada 14 Ogos 2018, kerana didakwa memeras ugut seorang pekerja kedai, lapan tahun lalu.

Sanjeevan telah pun melangsaikan hukuman denda yang dikenakan terhadap dirinya.

Pada 27 Nov tahun lalu, Mahkamah Tinggi di Temerloh semasa mendengar rayuan Sanjeevan terhadap sabitan dan hukuman itu mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret, namun menolak permohonannya untuk sekali lagi menangguhkan hukuman penjara kerana berhasrat membuat rayuan ke peringkat lebih tinggi.

Keputusan itu menyebabkan Sanjeevan dihantar ke Penjara Penor di Kuantan untuk menjalani hukuman pada hari yang sama.

Pun begitu, Mahkamah Tinggi Kuantan pada 4 Dis tahun lalu membenarkan permohonan Sanjeevan untuk menangguhkan hukuman penjara sehingga rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Dineshwaran berkata demikian susulan desakan Sanjeevan yang meminta Santhara meletak jawatan sebagai timbalan menteri semalam.

Sanjeevan sebelum ini menyifatkan tindakan Santhara, yang juga ahli parlimen Segamat, bercuti di New Zealand ketika PKP sebagai tidak bertanggungjawab dan memburukkan nama baik kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menjelaskan perkara itu telah dijawab dengan bukti oleh bosnya, Dineshwaran menyangkal dakwaan Santhara tidak menunjukkan prestasi baik.

"Semua tugasan dan program di parlimen Segamat dan Kementerian Wilayah Persekutuan tetap dilaksanakan berdasarkan arahan dari semasa ke semasa dan dipantau secara terus oleh Santhara sepanjang mengambil cuti rehat dan cuti tanpa gaji," tambahnya.

Santhara antara 10 ahli parlimen yang membuat keputusan keluar PKR untuk bersama Azmin dan menyertai Bersatu.

Santhara dilaporkan memohon cuti 55 hari untuk melawat keluarganya dan berada di sana sejak 23 Disember selepas mendapat kelulusan perdana menteri pada 3 Disember lalu.

Santhara pulang ke tanah air pada Sabtu lalu dan kini sedang menjalani kuarantin kendiri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS