Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin: PRU tahun 2023, tangguh Undi18 relevan
Diterbitkan:  Mar 26, 2021 5:27 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Menteri Kanan Azmin Ali hari ini mempertahankan langkah Putrajaya menangguhkan pelaksanaan Undi18.

Ini selepas menteri Umno, Reezal Merican Naina Merican dan Khairy Jamaluddin dilaporkan akan membangkitkan hal tersebut dalam mesyuarat kabinet untuk menggesa SPR segera melaksanakan Undi18.

Bagaimanapun, Azmin dipetik portal PN BBC berkata pilihan raya umum akan datang hanya akan berlangsung pada 2023.

"Pilihan raya seterusnya adalah pada 2023.

"Siapa janji untuk (laksana Undi18) pada 2020 atau 2021,” soalnya yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional.

Azmin juga dilaporkan portal kelab penyokong PN itu, meminta orang ramai supaya tidak membuat andaian atau memainkan sentimen.

Ketua penerangan PN itu berkata kerajaan Perikatan Nasional menyokong hak orang muda mengundi.

Bagaimanapun, menurutnya terdapat banyak langkah lain yang perlu diambil sebelum undang-undang baru itu dapat dikuatkuasakan.

Dia mendakwa pindaan perlu dilakukan di peringkat negeri untuk membolehkan warga negara berusia 18 tahun bertanding sebagai calon dalam pilihan raya negeri.

“SPR telah menjelaskan dan kebetulan ada perintah kawalan pergerakan (PKP), mungkin terganggu proses itu,” katanya.

SPR semalam memaklumkan akan menangguhkan Undi 18 kepada September tahun depan, meskipun menteri undang-undang Takiyuddin Hassan sebelum ini pernah mengatakan ia dijangka dilaksanakan pada Julai.

SPR berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) menjejaskan persiapan untuk menurunkan had usia mengundi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS