Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Alasan SPR tangguh Undi 18 tak munasabah - Khairy
Diterbitkan:  Mar 26, 2021 12:55 PM
Dikemaskini: 5:39 AM

  • Dikemas kini dengan ulasan Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin menolak alasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan pelaksanaan had umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran mengundi secara automatik.

“Alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan perancangan dan persiapan SPR juga adalah sesuatu yang tidak munasabah memandangkan PKP telah pun dilaksanakan semenjak lebih setahun yang lalu,” katanya

Katanya, penangguhan daripada Julai depan kepada September 2022 - lebih setahun - bercanggah dengan kenyataan pengerusi suruhanjaya itu pada Jun tahun lalu yang berkata persiapan akan disiapkan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh (bawah) semalam berkata Undi 18 hanya akan dilaksanakan selepas 1 September 2022 kerana persiapan mereka terjejas susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam kenyataan hari ini, anggota parlimen Rembau juga menegaskan kedua-dua langkah itu telah pun mendapat sokongan penuh kesemua anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Julai 2019.

“Penurunan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun serta pendaftaran automatik bukanlah hasrat kerajaan terdahulu semata-mata malah ia telah mendapat persetujuan kesemua parti-parti politik termasuklah menerusi ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan 2/3 majoriti Dewan,” katanya.

Sementara itu, menulis di media sosial, Khairy berkata dia dan Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican, juga daripada Umno, akan membangkitkan isu itu kepada jemaah menteri.

“Saya dan @reezalmerican akan sekali lagi bangkitkan perkara ini dalam jemaah menteri untuk menggesa SPR untuk melaksanakan undi 18 dengan segera,” katanya.

Laksana Undi 18 dulu - Reezal

Sementara itu, Reezal (bawah) mencadangkan penurunan had umur mengundi dan menjadi calon kepada 18 tahun dilaksanakan terlebih dahulu, jika semua pindaan tidak boleh dilaksanakan serentak.

“Ini juga bermakna, anak muda masih diberi ruang untuk bersama-sama dalam satu proses penting sebuah negara demokrasi,” katanya.

Pindaan perlembagaan yang diluluskan oleh parlimen ialah menurunkan had umur layak mengundi, menjadi anggota Dewan Rakyat dan anggota Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun serta pendaftaran automatik sebagai pengundi ketika umur 18 tahun.

Undi 18 dan pendaftaran automatik pengundi dirancang, digubal dan diusulkan Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil alih kerajaan pada pilihan raya umum lalu.

Ia mendapat sokongan 211 daripada 222 ahli pada 16 Jul 2019. Sepuluh hari kemudian ia diluluskan oleh Dewan Negara pula.

Bagaimanapun status rancangan itu menjadi tanda tanya apabila yang dipertua Dewan Negara yang juga pemimpin Bersatu Rais Yatim berkata masa lebih panjang diperlukan untuk melaksanakannya.

Pilihan raya umum perlu diadakan sebelum 2023. Namun perkembangan semasa membayangkan lebih awal dari itu.

Malah lazimnya kerajaan akan mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen lebih awal daripada tempoh tersebut.

Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata akan mencadangkan pembubaran parlimen sebaik saja ancaman Covid-19 dapat dikawal. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS