Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tangguh Undi 18: Armada kesal namun faham situasi SPR
Diterbitkan:  Mar 26, 2021 10:50 AM
Dikemaskini: 2:50 AM

Pemuda Bersatu (Armada) meluahkan kekecewaan susulan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung penundaan pelaksanaan Undi 18 ke tahun hadapan.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya faham SPR perlu meneliti kaedah yang sesuai berhubung pelaksanaan tersebut.

“Armada kesal dengan keputusan SPR, badan bebas pelaksana pilihan raya berkenaan penundaan pelaksanaan Undi18 dari Julai 2021 ke September 2022.

“Armada kekal berpendirian bahawa pelaksanaan penurunan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun tetap perlu dilaksana seperti yang dirancang.

“Bagaimanapun Armada memahami bahawa SPR perlu meneliti kaedah yang paling sesuai untuk memastikan bahawa kemasukan pengundi baru yang berumur 18-21 dibuat dengan baik supaya tidak timbul kekeliruan pada hari mengundi kelak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal, yang juga merupakan timbalan menteri belia dan sukan berkata, Armada bersedia untuk bekerjasama dengan semua agensi kerajaan bagi mempercepat proses itu.

Untuk rekod, SPR menyatakan perintah kawalan pergerakan (PKP) membantutkan proses persediaan berkenaan.

Pengkritik bagaimanapun menjelaskan, tiada sebab sistem pendaftaran pengundi yang ada sekarang tidak boleh diperluas kepada rakyat berusia 18 tahun, meskipun pendaftaran automatik itu ditangguhkan.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal menambah, satu pelan menyeluruh berhubung pelaksanaan Undi 18 perlu segera dibentangkan kepada orang awam secepatnya, untuk proses semak dan imbang.

SPR sebelum ini berkata laporan awal Undi 18 akan tersedia pada September tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS