Ahli Parlimen Pekan Najib Razak memberi amaran kepada kerajaan Perikatan Nasional bahawa anak muda tidak akan lupa "kemungkiran janji" berhubung Undi 18, merujuk kepada umur minimum layak mengundi dan pendaftaran undi automatik bagi belia berumur 18 tahun.
Dalam kenyataan di Facebook, bekas perdana menteri itu berkata dia percaya kerajaan PN tidak mahu melaksanakan Undi 18 kerana mereka percaya majoriti anak muda marah dengan kerajaan pada ketika ini.
"Saya percaya orang muda tidak akan mudah lupa kemungkiran janji ini. Saya pernah jangka kerajaan PN akan kurang ingin laksanakannya - seperti apa yang saya tulis pada awal bulan ini.
"Saya percaya kerajaan PN tidak mahu melaksanakan Undi 18 sebab mereka percaya majoriti pemuda marah dengan kerajaan pada ketika ini.
"Namun, usul Undi 18 ini telah diluluskan sebulat suara oleh semua ahli parlimen pada bulan Julai 2019 dan kita diberitahu bahawa ia akan dilaksanakan selewatnya dua tahun kemudian iaitu bulan Julai 2021 yang semakin menjelang," katanya.
Najib menambah bahawa adalah "tidak logik" untuk kerajaan memerlukan tempoh sepanjang lebih tiga tahun untuk melaksanakan Undi 18.
"Maka kerajaan PN telah terperangkap dan masih terfikir mahu laksanakan ke tidak Undi 18 kerana tidak meluluskannya bermaksud penghinaan paling besar terhadap parlimen dan proses demokrasi.
"Pendapat saya ialah jika ia telah diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan atau mana-mana ahli parlimen yang berkecuali, maka Undi 18 patut dilaksanakan mengikut jadual yang dipersetujui.
"Usul dengan majoriti 2/3 menyokong boleh tukar perlembagaan persekutuan. Ini kan usul dengan sokongan 100 peratus undi secara sebulat suara?" katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan akan menangguhkan Undi 18 kepada September tahun depan, meskipun menteri undang-undang Takiyuddin Hassan pernah mengatakan ia dijangka dilaksanakan pada Julai.
SPR berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) mempengaruhi perancangan dan persiapan untuk menurunkan usia minimum pengundi.
Bagaimanapun, pengkritik berpendapat tidak ada alasan mengapa sistem pendaftaran pengundi yang ada tidak dapat diperluas kepada mereka yang berusia 18 tahun.
Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang mendesak Pengerusi SPR Abdullah Ghani Salleh untuk mengundurkan diri dan memberi laluan kepada pengerusi baru yang dapat memenuhi mandat Parlimen.
"Keputusan itu (menangguh Undi 18) melanggar mandat Parlimen untuk membenarkan rakyat Malaysia berusia berumur 18 tahun untuk mengundi pada pilihan raya akan datang.
"Ini sama sekali tidak dapat diterima dan pengerusi SPR akan didapati melakukan kesalahan yang membawa kepada pemecatan sekiranya Parlimen tidak digantung," katanya dalam satu kenyataan.
"Dia harus memiliki integriti dan kehormatan untuk mengundurkan diri sebagai pengerusi SPR kerana dia tidak dapat mematuhi komitmen Parlimen untuk menurunkan usia pengundi menjadi 18 tahun pada pilihan raya akan datang," tambah Lim.