Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tangguh Undi 18, wakil belia kecam SPR
Diterbitkan:  Mar 25, 2021 7:59 PM
Dikemaskini: 2:36 PM

Beberapa personaliti anak muda dan ahli politik belia meluahkan rasa kecewa dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa pendaftaran Undi 18 dan pemilih automatik hanya akan dilaksanakan selepas September tahun depan.

Pengasas bersama gerakan Undi 18, Qyira Yusri berkata, pihaknya berang dengan penangguhan tersebut walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan menyatakan bahawa Undi 18 berada di landasan yang betul untuk dilaksanakan menjelang Julai tahun ini.

"Tak masuk akal apabila SPR hanya tampil dan sebut mengenai penangguhan  dan cabaran yang dihadapi setelah hampir setengah tahun berdepan pandemik.

"Kami merasa sangat marah dan berpendapat alasan yang diberikan oleh SPR tidak boleh diterima dan tidak masuk akal," kata Qyira dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Qyira berkata pihaknya merancang untuk mencabar kerajaan di mahkamah berhubung perkara itu.

SPR, dalam satu kenyataan hari ini berkata persiapan bagi pelaksanaan Undi 18  terjejas oleh perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Dianggarkan sekitar 1.2 juta belia berada dalam kumpulan berkenaan.

Sementara itu Naib Presiden Parti Muda (Muda) Lim Wei Jiet berkata mereka akan membawa isu penangguhan Undi 18 itu ke mahkamah secepat mungkin.

Rampas hak bersuara belia

Lim berkata alasan yang diberikan oleh SPR mengenai PKP sebagai halangan dalam melaksanakan Undi 18 sebagai tidak munasabah dan seolah-olah SPR memperbodohkan rakyatb Malaysia.

"Tidak masuk akal sewaktu PKP dan pengumuman darurat, pelajar sekolah masih perlu belajar dari rumah, rakyat mesti mencari rezeki membayar hutang bank tapi agensi kerajaan beri alasan remeh isu birokrasi. 

"Takkan urusan pendaftaran makan masa lebih dua tahun," katanya.

Lim berkata Muda melihat penangguhan itu sebagai melanggar hak demokrasi dan bertentangan dengan perlembagaan negara.

"Lebih dari dua pertiga wakil rakyat telah menyokong usul ini, maka benarlah kerajaan hari ini begitu takut dengan anak muda," tambahnya.

Di Sarawak, Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii Lee Wuen berkata kerajaan PN telah 'merompak hak' berjuta-juta golongan belia untuk memilih dalam PRU akan datang.

Kelvin Yii

"Saya sangat marah dengan pengumuman dibuat SPR yang memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Undi 18, serta pendaftaran pemilih automatik ke 1 Sept tahun depan.

"Ia jelas bertentangan dengan janji awal mereka untuk melaksanakannya pada Julai tahun ini.

"SPR juga merampas hak bersuara sehingga 3.8 juta anak muda berusia antara 18 hingga 20 tahun yang layak untuk mengundi terutamanya jika PRU diadakan pada akhir tahun ini atau awal tahun depan," kata ahli parlimen berusia 34 tahun itu.

Sehubungan itu, Yii menggesa Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican dan timbalannya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berundur kerana gagal melindungi hak dan suara golongan belia di negara ini.

Usah sebut pasal realistik

Ketua Pemuda DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, pula mendakwa keputusan SPR untuk menangguhkan Undi 18 sebenarnya bermotifkan politik.

"Selain keputusan itu menunjukkan SPR tidak mampu dan tidak cekap, ia juga jelas merupakan keputusan bermotifkan politik kerana mereka mempunyai masa yang cukup - lebih dari setahun - untuk melaksanakannya setelah rang undang-undang berkaitan diluluskan pada 25 Julai 2019," katanya.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang juga pengasas bersama Muda turut menyatakan rasa kecewa dengan pengumuman SPR petang tadi.

"PKP tidak boleh menjadi alasan atas sikap culas SPR melaksanakan Undi 18. Malah, SPR seharusnya berterus terang dan memaklumkan kepada rakyat apakah yang masih menghalang Undi 18 daripada dilaksanakan.

"Hormati keputusan Dewan Rakyat. Hormati hak orang muda untuk mengundi dan menentukan masa hadapan negara.

"Kerajaan juga perlu menyuarakan komitmen untuk melaksanakan Undi 18 selewat-lewatnya Julai 2021," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pemuda PH Shazni Munir Mohd Ithin mempersoalkan alasan untuk "bersikap realistik" semasa memberikan justifikasi mereka melewatkan pelaksanaan Undi 18.

"SPR jangan sebut soal realistik kerana setahun lebih yang berlalu adalah tempoh yang amat realistik untuk melaksanakan Undi 18 secara automatik.

"Kami nak tahu secara terperinci, halangannya apa dan di mana?

"Logiknya, mendaftarkan (pemilih) secara automatik itu lebih mudah berbanding susah-payah pendaftaran manual.

"Teknologi digital dalam sistem pendaftaran negara lebih daripada mampu untuk melaksanakannya segera," kata Shazni melalui ciapan di Twitter. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS