Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis NGO pro-Azmin gesa Edmund Santhara letak jawatan
Diterbitkan:  Mar 25, 2021 4:23 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Ketua Pemuda Negara Negeri Sembilan, Sanjeevan Ramakrishnan menggesa Edmund Santhara Kumar meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri Wilayah Persekutuan.

Sanjeevan menyifatkan tindakan ahli parlimen Segamat itu bercuti di luar negara ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) sebagai tidak bertanggungjawab dan memburukkan nama baik kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Untuk rekod, Pemuda Negara adalah sebuah NGO yang ditubuhkan bagi menyokong Azmin Ali selepas bekas timbalan presiden PKR itu keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) pada Feb 2020.

Santhara adalah antara 10 ahli parlimen yang membuat keputusan keluar PKR untuk bersama Azmin dan menyertai Bersatu.

"Saya sering berhubung dengan rakyat di peringkat bawahan. Majoriti mereka menyatakan rasa kesal dengan tindakan timbalan menteri yang telah mencemar nama baik kerajaan PN.

"Justeru, tindakan Edmund Santhara ini sangat tidak bertanggungjawab dan jelas telah mencemar nama baik PN, ibarat peribahasa "seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit.

"Sebelum nasi menjadi bubur, saya menggesa supaya Edmund Santhara meletakkan jawatan secara terhormat," kata Sanjeevan dalam kenyataan media hari ini.

Santhara sebelum ini dikritik pembangkang dan netizen selepas melawat keluarganya di New Zealand, walaupun kerajaan melarang rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara.

Dia dilaporkan memohon cuti selama 55 hari untuk melawat keluarganya dan berada di sana sejak 23 Disember selepas mendapat kelulusan perdana menteri pada 3 Disember lalu.

Santhara pulang ke tanah air pada Sabtu lalu dan kini sedang menjalani kuarantin kendiri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS