Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bicara kes saman Ismail Sabri terhadap Anina 1 Okt depan

Kes saman difailkan Ismail Sabri Yaakob terhadap bekas Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Anina Saadudin atas dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah bahawa beliau tidak kompeten dalam menjalankan tugas ketika melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan didengar pada 1 Okt di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Hakim, Mohd Firuz Jaffril menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut di hadapannya hari ini.

Anina, 46, selaku defendan memberitahu mahkamah bahawa beliau yang merupakan seorang suri rumah tidak berkemampuan untuk melantik peguam, namun tetap akan membela dirinya sendiri.

"Saman akan diteruskan, saya hadir ke mahkamah dengan kepercayaan bahawa mahkamah akan berlaku adil dan tempat saya bercakap benar," katanya.

Pada 11 Mac lepas, Ismail Sabri selaku plaintif memperoleh perintah interim injunksi daripada mahkamah untuk memaksa Anina dengan serta-merta memadamkan kesemua kenyataan fitnah mengenainya di laman Facebooknya (Anina).

Sementara itu, Anina turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau telah memadam posting (penghantaran) yang disebutkan dalam tuntutan saman itu dan juga telah menfailkan penyataan pembelaannya hari ini.

Ditanya Hakim Mohd Firuz, sama ada defendan mahu ketepikan perintah injuksi atau tiada masalah injunksi berkenaan diteruskan, Anina menjawab: "Saya tiada masalah untuk (injunksi) diteruskan".

Peguam Ragunath Kesavan yang mewakili Ismail Sabri pula berkata beliau mengambil maklum bahawa defendan telah memadam penghantaran yang dibuat di akaun media sosialnya selain tidak membantah sekiranya Anina memerlukan masa untuk melantik peguam.

Hakim Mohd Firuz juga menetapkan 21 Jun untuk pengurusan kes selanjutnya menerusi aplikasi Zoom.

"Saya beri masa untuk (Anina) lantik peguam untuk dapatkan nasihat kerana perbicaraan lambat lagi kerana mahkamah ini paling awal boleh dengar kes ini pada 1 Okt depan. Penyataan saksi perlu difailkan dua minggu sebelum perbicaraan… perintah injuksi dikekalkan," kata hakim itu.

Pada 5 Mac lepas Ismail Sabri menfailkan saman itu dan mendakwa Anina telah menerbitkan 13 kata-kata fitnah terhadap plaintif dan turut memuat naik video di dalam Facebook miliknya, antara lain mendakwa menteri itu tidak kompeten dalam menjalankan tugasnya ketika melaksanakan peraturan-peraturan ketat untuk memerangi penyebaran Covid-19 menerusi PKP.

Dalam penyataan tuntutannya, plaintif mendakwa 13 kata-kata fitnah oleh Anina bermula 5 Feb hingga 3 Mac lepas menerusi Facebooknya yang turut dikongsi oleh pengguna laman sosial itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif adalah 'boneka' yang semata-mata melaksanakan perintah perdana menteri, tidak cekap dan kompeten dalam kerjayanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS