Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda tuntut ROS, menteri buat keputusan terhadap rayuan

Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menghantar surat tuntutan kepada Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) supaya memberikan keputusan berkenaan rayuan pendaftaran parti itu.

Menurut naib presiden penaja Muda merangkap peguam parti itu Lim Wei Jiet, kertas rayuan untuk pendaftaran parti terbabit masih belum tiba pun di meja Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin atas alasan "tapisan keselamatan" terhadap tiga penaja baru parti tersebut.

Hal itu, menurutnya, hanyalah alasan bagi melengahkan rayuan Muda dan tidak termaktub dalam Akta Pertubuhan.

"Berikutan itu, kami akan hantar satu surat tuntutan kepada ROS dan menteri dalam negeri untuk mereka membuat keputusan berkenaan rayuan Muda dalam tempoh tujuh hari.

"Kalau mereka tak buat keputusan, kami terpaksa untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya di pintu pagar Kompleks Kerajaan Parcel D, Putrajaya, sebelum masuk untuk menyerahkan surat tuntutan kepada pegawai ROS.

Pada 6 Jan lalu, ROS menolak permohonan pendaftaran Muda bersama satu lagi parti iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Untuk rekod kedua-dua parti itu diasaskan oleh tokoh utama Pakatan Harapan seperti Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang diketepikan Bersatu selepas Langkah Sheraton.

Susulan keputusan ROS itu Muda membuat rayuan pada 4 Feb lalu.

Kata Lim, Muda menambah tiga nama pemimpin penaja baru - pada 8 Feb - memandangkan ROS tidak menerima beberapa nama sebelumnya atas alasan alamat kad pengenalan yang jauh dari alamat bekerja.

Lim Wei Jiet

Namun, pada 24 Februari, mereka mendapat tahu bahawa ketiga-tiga penaja itu perlu melepasi tapisan keselamatan oleh ROS.

"Oleh itu, kertas rayuan itu belum tiba di meja menteri dalam negeri lagi, mereka masih menunggu keputusan untuk tapisan keselamatan.

"[...] Tapi mengapa ROS perlu ada kriteria tambahan untuk tapisan keselamatan ini? Itu yang kami ingin persoalkan.

"Bagi kami itu cuma alasan ROS untuk melengah-lengahkan rayuan pendaftaran Muda.

"Keperluan untuk tapisan keselamatan ini tak munasabah, tiada dalam Akta Pertubuhan.

"Bagi kami, itu satu kriteria yang mereka reka cipta sendiri dan itu tak boleh dijadikan alasan untuk melengahkan proses rayuan Muda," katanya.

Tambah Lim perkembangan itu menggusarkan ketika ketiga-tiga penaja baru itu tidak mempunyai rekod jenayah, tidak bankrap, dan tidak pernah menyertai mana-mana parti politik.

Tambahnya, tidak seperti peringkat kelulusan pendafataran sebelum ini yang ditolak ROS, peringkat rayuan sepenuhnya tertakluk pada keputusan menteri dalam negeri.

Sebelum ini, mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman oleh Muda terhadap keputusan ROS menolak pendaftarannya, dan meminta parti itu membuat rayuan kepada menteri terlebih dahulu. 

Pada 2 Feb, Hamzah berkata pendaftaran Muda ditolak kerana tidak mematuhi Akta Pertubuhan 1966. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS