Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Istilah 'orang Keling': DBP pertimbang tindakan undang-undang

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terus mencetuskan isu definisi perkataan tambi sebagai bermaksud "panggilan untuk orang Keling yang lebih muda."

Ini selepas, Ketua Pengarah DBP, Abang Sallehuddin Abg Shokeran berkata bahawa isu maksud 'tambi' sepatutnya telah selesai kerana Kamus Dewan Edisi Keempat telahpun menakrifkan perkataan itu sebagai "panggilan untuk orang India yang berpangkat adik."

"Tidak ada sebab untuk DBP memohon maaf. Isu yang dibangkitkan adalah isu lama, yang tiada isu dalam konteks pada waktu itu. Kamus ini diterbitkan pada tahun 1970-an.

"Dalam sejarah, tidak ada pertelingkahan pada zaman dahulu disebabkan perkataan ini walaupun digunakan dengan meluas di beberapa daerah. Cuma sekarang, kerana banyak yang melupai sejarah dan budaya dahulu, hal ini telah menjadi lain. Saya merujuk kepada sejarah. Janganlah politikkan semua perkara”.

"DBP juga sedang mengkaji sama ada perlu atau tidak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mencetuskan isu ini," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas notis tuntutan undang-undang seorang aktivis yang menggesa DBP memohon maaf kerana didakwa menghina masyarakat India di Malaysia.

Tuntutan itu dibuat oleh S Shankar Ganesh menerusi notis yang disediakan oleh firma guaman K Ganesh & Associates, pada 22 Mac.

Shankar berkata sekiranya DBP gagal memberikan sebarang maklum balas terhadap notis tuntutan itu dalam tempoh tujuh hari, pihaknya akan memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan di mahkamah.

Bagaimanapun, Sallehuddin berkata bahawa pihaknya akan mengkaji notis tuntutan itu dalam masa terdekat.

Sementara itu, Sallehuddin menegaskan masyarakat sepatutnya mengelakkan diri daripada menggunakan kata 'Keling' sebagai panggilan untuk merujuk kepada orang India.

Ini, jelasnya selepas takrif dan makna budaya untuk perkataan itu telah berubah daripada makna asal dahulu.

"Dalam Islam, kita juga dianjurkan untuk memanggil nama seseorang dengan nama yang baik-baik dan yang disukainya. Sebab itu dalam kamus terbaharu kami, kata keling telah dilabelkan tabu.

"Dalam penerbitan semasa DBP, majalah, buku dan sebagainya kata keling yang merujuk kepada orang India tidak lagi digunakan,” katanya.

Untuk rekod, kata Keling dalam konteks hubungan kerajaan kuno alam Melayu dengan 'kerajaan Kalinga dari Bharat' tidak membawa maksud menghina Orang India Malaysia moden, misalnya tindakan kesultanan Melaka menamakan tempat Tanjung Keling sebagai pengiktirafan terhadap kerajaan kuno itu.

DBP baru-baru ini dikecam berhubung definisi perkataan 'tambi' dalam kamus dalam taliannya yang bermaksud 'adik lelaki' dalam bahasa Tamil.

Ini susulan maklumat kata Pusat Rujukan Persuratan Melayu itu memaparkan dua takrifan perkataan tambi.

Kata tambi berdasarkan Kamus Pelajar terbitan tahun 1987 yang dikemas kini pada 2007 bermakna "panggilan untuk orang Keling yang lebih muda daripada kita."

Bagaimanapun, pada takrifan kedua Kamus Dewan Edisi Keempat, terbit 2005, kata tambi telah diubah menjadi, "panggilan untuk orang India yang berpangkat adik."

DBP dalam kenyataannya menjelaskan kekeliruan berhubung dua definisi tambi yang terbit dalam PRPM itu, berkata tujuannya untuk menunjukkan perubahan makna sesuatu perkataan berdasarkan konteks sejarah dan tuntutan masyarakat.

DBP berkata bagi kamus umum yang bersifat sejarah dan "hidup" (living dictionary), segala fakta tentang kata yang pernah timbul dan sedang hidup penggunaannya dalam masyarakat penutur bahasa Melayu akan dirakamkan.

"Demikianlah juga halnya dengan kata keling yang telah sedia wujud di dalam Kamus Dewan sejak edisi sulungnya yang terbit pada tahun 1970 lagi.

"Bagaimanapun, dari segi pengolahan maknanya, ada perubahan dan pembaikan yang diusahakan oleh penyusun Kamus Dewan terhadap kata keling ini sesuai dengan unsur sejarah dan faktor sosiolinguistik kata ini.

"Misalnya, daripada makna yang dirakamkan oleh Kamus Dewan 1989 dan 1994, Kamus Dewan secara tersurat cuba mendidik masyarakat bahawa keling ialah kata yang kurang halus untuk digunakan, dan yang lebih halus digunakan ialah kata India, iaitu panggilan kepada orang India," kata DBP.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS