Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CIDB: Punca insiden terbaru di Suke masih disiasat
Diterbitkan:  Mar 24, 2021 7:38 PM
Dikemaskini: 11:38 AM

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sedang menyiasat insiden kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Klang Expressway (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras, Isnin lalu.

Dalam satu kenyataan, lembaga itu berkata siasatan mengenai punca kejadian turut dijalankan beberapa agensi penguatkuasa berkaitan termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut CIDB, pihaknya menyiasat insiden berkenaan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (Akta 520).

"Di bawah Akta 520, kontraktor yang didapati gagal memenuhi tanggungjawab untuk memastikan keselamatan semasa atau selepas pembinaan, dan menyebabkan kematian, mereka boleh didenda tidak lebih dari RM500,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali," jelasnya.

Pada 22 Mac lalu, komponen besi kren terjatuh di tapak pembinaan SUKE menyebabkan tiga orang terkorban.

Ia merupakan kejadian kali ketiga berlaku di tapak pembinaan lebuh  raya berkenaan.

Pada 19 Sept tahun lepas, seorang wanita nyaris maut selepas kepingan konkrit daripada kerja-kerja pembinaan Suke terjatuh dan menghempap kereta yang sedang dipandunya di MRR2.

Dalam insiden itu, CIDB berkata kontraktor utama dan subkontraktor pakej kerja Suke yang terbabit telah didenda sebanyak RM180,000 atas sebab kegagalan untuk memastikan keselamatan.

Selain itu pada 3 Mac lalu, dua maut dan tiga lagi cedera dalam runtuhan jambatan Suke setelah sebuah treler merempuh perancah besi lebuh raya berkenaan.

Berkenaan insiden terbabit, siasatan CIDB setakat ini mendapati kontraktor yang terlibat telah mematuhi semua keperluan pengurusan lalu lintas untuk projek pembinaan.

"Dalam situasi seperti ini, pemandu kenderaan berat mempunyai tanggungjawab dalam memastikan kenderaan mereka mengikut had ketinggian yang dipaparkan pada papan tanda jalan projek pembinaan atau mengambil laluan alternatif jika sebaliknya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS