Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ingkar SOP: 54 individu dikompaun - Ismail Sabri
Diterbitkan:  Mar 24, 2021 6:38 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

Seramai 54 individu dikompaun atas atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan merekodkan butiran pelanggan (21) diikuti tidak memakai pelitup muka (17) dan rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (6).

“Seramai 18 pendatang tanpa izin ditahan, manakala sebuah bot serta 11 kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng semalam,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan hari ini.

Beliau berkata 836 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam dan kesemuanya dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara, menjadikan kumulatif seramai 152,570 individu telah pulang ke tanah air sejak 24 Julai tahun lepas.

Mengenai saringan wajib pekerja asing, Ismail Sabri berkata sejumlah 3,428 orang telah menjalani ujian saringan Covid-19 semalam dan 11 daripada mereka didapati positif Covid-19.

Secara kumulatif, seramai 644,425 pekerja asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 setakat ini melibatkan 33,205 majikan, katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS