Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buruh diheret ke mahkamah atas dakwaan anjur sabung ayam

Disyaki menjadi dalang menganjurkan aktiviti sabung ayam, seorang buruh ladang didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Tertuduh, Azmi Ab Aziz, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Tertuduh didakwa menganjurkan aktiviti yang melibatkan penggunaan ayam iaitu haiwan itu tertakluk kepada penganiayaan sama ada semasa aktiviti itu sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Pok Jelak Bedal, Kuala Krai kira-kira pukul 4.45 petang pada 12 Mac lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 29(1) (u) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722) yang memperuntukkan hukuman denda di antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendali Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan, Mohd Sharif Sabran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Sharif meminta jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin ditawarkan bagi pertuduhan itu.

Azmi dalam rayuannya pula memohon ikat jamin yang rendah kerana dia mempunyai ramai tanggungan termasuk anak-anak yang masih bersekolah.

"Sekarang ini, duit bersama saya hanya ada RM7,000 sahaja. Jadi, saya mohon jaminan yang rendah," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan tarikh 25 April depan bagi sebutan semula kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS