Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menafikan spekulasi parti itu mungkin bekerjasama dengan PKR menjelang PRU akan datang.
Menurut Zahid, tiada perbincangan seumpama itu antara dua parti tersebut.
"Ya, saya dan Anwar berjumpa di Parlimen, di majlis perkahwinan, tetapi langsung tiada perbincangan, rasmi atau tak rasmi.
"Bukan dengan saya, bukan dengan (timbalan presiden Umno) Mat Hassan," katanya seperti dipetik The Star hari ini.
Akhbar itu mewawancara Zahid menjelang Perhimpunan Agung Umno yang dijadual berlangsung hujung minggu ini.
Terdahulu, Anwar dalam sidang media berkata ada "perbincangan awal" antara beberapa pemimpin PKR dan Umno.
Dia juga membayangkan ada ahli Parlimen Umno yang menunjukkan sokongan terhadap cadangan kerjasama itu.
Bagaimanapun, menurut Zahid, tiada mana-mana pemimpin Umno yang diberi kuasa untuk mengadakan perbincangan dalam soal itu dengan PKR.
"Anda perlu tanya dia dengan siapa dia berbincang, tetapi Umno tak beri kuasa kepada mana-mana wakil untuk buat perbincangan," katanya.
Menurut laporan itu lagi, Zahid pada masa sama tidak menolak kemungkinan penerokaan kerjasama dengan PKR selepas PRU15.
"Tetapi pada masa ini tiada perbincangan, sama ada dengan PKR, DAP atau PH," katanya lagi.