Pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri antara lain akan membolehkan kadar caj perkhidmatan elektrik dikurangkan, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah.
Menurutnya, cadangan projek tersebut dikemukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan turut bertujuan bagi mengelak kejadian bencana banjir berlaku di negeri itu.
"Tujuan utama adalah untuk menjana kuasa elektrik, apabila ada (empangan) ini harga kadar elektrik pun boleh diturunkan.
"Yang kedua dari sudut kepentingan negeri untuk mengatasi masalah banjir kerana peranan empangan ini boleh mengumpulkan air dan mengurangkan risiko banjir. Sebab itu kita setuju," katanya kepada media ketika diminta mengulas kenyataan dibuat Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) semalam yang membantah pembinaan empangan tersebut.
Tambah Mohd Amar dengan adanya empangan itu juga bekalan air yang ada boleh dimanfaatkan untuk sektor pertanian dan kegunaan domestik.
"Itu antara faktor kenapa kerajaan bersetuju dengan cadangan berkenaan," katanya.
Naib presiden PAS itu berkata demikian ketika ditemui selepas menerima suntikan dos kedua program imunisasi vaksin Covid-19 di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan lebih 3,000 penduduk Orang Asli manandatangani memorandum bantahan projek pembinaan empangan hidroelektrik Neggiri di Gua Musang.
Pengerusi JKOAK Mustafa Along berkata, pihaknya mewakili suara penduduk terbabit menggesa supaya projek itu dibatalkan kerana akan memberi kesan buruk terhadap kelestarian alam, sumber penghidupan, perkampungan dan tanah adat Orang Asli.
Antara lain dakwanya Mustafa, projek itu akan menenggelamkan 5,384 hektar kawasan hutan yang merupakan tanah adat, wilayah warisan dan kawasan rayau Orang Asli di Gua Musang.
Mohd Amar berkata, perkara itu sebenarnya sudah selesai dan sepatutnya tiada isu berbangkit lagi termasuk perancangan penempatan semula penduduk di kawasan terlibat.
Jelasnya, TNB bersama Pejabat Tanah dan Jajahan serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sudah turun berbincang dan penduduk sudah bersetuju untuk berpindah.
"Kawasan yang kita cadangkan (penempatan baru) juga sudah dipersetujui.
"Perkara itu sebenarnya tidak berbangkit. Penempatan baru memang penduduk sendiri setuju, tidak jauh daripada kampung asal mereka.
"Saya hairan isu ini timbul dan apabila dapat maklumat ia usaha yang dibuat oleh Jaringan (JKOAK).
"Jaringan ini pada pandangan saya banyak bermain politik, bagi kita Jaringan ini pertamanya pertubuhan tidak berdaftar, kita dah sebut kepada mereka dulu bahawa tidak boleh berbincang secara rasmi dengan mereka sebab mereka tidak berdaftar dan tidak mewakili masyarakat Orang Asli. Bagi kita pihak yang mewakili Orang Asli adalah Jakoa.
"Sepatutnya semua perbincangan melalui Jakoa, dah kita dah lulus penempatan baru siap dengan jadual perpindahan seperti dicadangkan pihak TNB," katanya yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Panchor.
Malah tambah Mohd Amar dia beranggapan JKOAK sengaja mencipta isu melalui bantahan tersebut, selain yakin ia mempunyai agenda-agenda tertentu.