Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda didakwa sebabkan tangan bapa saudara hampir putus

Seorang pembantu jurulektrik didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini dengan tuduhan mencederakan bapa saudaranya menggunakan parang sehingga hampir putus pergelangan tangan dalam kejadian di Kampung Membatu Kok Lanas, 21 Februari lalu.

Tertuduh, Mohamad Asyraf Rahimi, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap bapa saudaranya, Mohd Noor Deraman, 44, menggunakan sebilah parang yang boleh menyebabkan kematian dalam kejadian pada jam 10.30 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan dengan kuasa pendakwa raya.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara dua kali dari jangka masa maksimun.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizuan Sulaiman dan tertuduh diwakili peguam, Ilias Mohd Nor.

Terdahulu, Faizuan memohon supaya tiada jaminan ditawarkan memandangkan kediaman keluarga tertuduh jaraknya hanya tujuh kilometer dengan mangsa selain dikhuatiri mengganggu saksi-saksi kes.

Ilias bagaimanapun memohon jaminan minimum ditawarkan kerana tertuduh perlu menyara kedua ibu bapanya dan memberi jaminan anak guamnya tidak mengganggu mangsa dan sakni.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan dan tarikh 3 Mei ditetapkan bagi sebutan semula kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS