Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mungkin presiden Umno ada senjata rahsia, kuasa magis - Zahidi

Sedar bahawa Umno tidak boleh "memperkecilkan presiden" mereka, ahli Majlis Tertinggi Umno Zahidi Zainul Abidin berkata dia menyerahkan isu hubungan parti itu dengan Bersatu di tangan Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Zahidi keyakinan yang ditunjukkan Ahmad Zahid itu mungkin disebabkan ahli parlimen Bagan Datuk berkenaan mempunyai "senjata rahsia" dan "kuasa magis" bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Saya tak tahu keyakinan presiden. Dia mungkin ada senjata rahsia hingga dia (rasa) Umno boleh menang.

"Presiden ada matlamat untuk menang semua kerusi yang ditanding dan membentuk kerajaan.

"Mungkin dia ada senjata rahsia - harap-haraplah... Kita tak boleh memperkecilkan presiden. Mungkin ada magical power," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu bercakap kepada portal ini semasa dihubungi bagi mendapatkan pandangannya berhubung Perhimpunan Agung Umno yang dijadual berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini.

Selain diadakan secara maya dan norma baru, perhimpunan kali ini juga menarik perhatian ramai kerana ia dijangka menyaksikan usul agar Umno menamatkan kerjasama dengan Bersatu diluluskan secara rasmi.

Pendirian itu sudah diluluskan oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Untuk rekod Bersatu adalah parti serpihan Umno yang ditubuhkan oleh bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Serah kepada presiden

Kedua-dua tokoh itu bersikap lantang mengkritik Umno - yang ketika itu dipimpin Najib Razak - ekoran skandal 1MDB.

Bagaimanapun hubungan Umno - Bersatu sentiasa berada dalam keadaan tegang ekoran beberapa isu termasuk dakwaan Umno dilemahkan oleh gerakan di peringkat akar umbi, selain beberapa ahli parlimen yang dibawa masuk ke Bersatu.

Di sebalik pendirian MT Umno berhubung Bersatu itu, Perlis dan Sabah sebaliknya menyatakan rancangan mereka untuk mengekalkan hubungan tersebut. Zahidi merupakan ahli parlimen Padang Besar di Perlis.

Menurut Zahidi presiden Umno itu memberitahu ahli akar umbi, mereka akan bertanding di semua kerusi yang mempunyai pengundi Melayu lebih 60 peratus.

Dalam keadaan begitu katanya semua ketua bahagian Umno mahu bertanding di kawasan masing-masing dan mustahil untuk meminta mereka memberikan laluan kepada calon parti lain.

"Sebagai ketua bahagian, saya mahu dicalonkan dan saya tak boleh suruh orang lain memberi laluan kepada Bersatu," katanya.

Dia juga berkata Ahmad Zahid mungkin mempunyai karisma tersendiri sehingga yakin semua kerusi yang akan ditandingi Umno dapat dimenangi.

"Jadi kita serahkan hal itu kepada dia, betul tak?" katanya.

Pada masa sama Zahidi berharap Umno terus berbincang mengenai pembahagian kerusi dengan parti lain termasuk Bersatu dan PAS untuk menghadapi PRU ke-15.

"Saya rasa kita patut berunding dengan Perikatan Nasional dan Bersatu sehingga kita membentuk kerajaan," katanya.

Ditanya mengenai apa isu yang akan dibahaskan pada perhimpunan hujung minggu ini Zahidi berkata ia membabitkan kerjasama Umno dengan parti-parti lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS